Hiburan
Gegar Vaganza 2 (GV2): Farahdhiya Tidak Menyesal Sertai GV2
Penyanyi dan pelakon Farahdhiya tidak menyesal menyertai program realiti Gegar Vaganza 2 (GV) kerana program ini telah menggilap semula namanya dalam bidang nyanyian.
Farahdhiya atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohd Amin, 31, berkata dia mulai merasa teruja sejak konsert minggu pertama GV2.
“Saya teruja selepas melihat sokongan yang diberikan para penonton dan peminat. Selesai konsert minggu pertama saya rasa seronok sangat.
“Saya mesti menyesal kalau tolak tawaran GV2 kerana inilah platform terbaik untuk menggilap semula populariti sebagai penyanyi,” katanya kepada Astro Gempak.
Bercakap tentang persembahannya yang semakin baik setiap minggu, anak kelahiran Itali itu berkata maklumbalas positif dari semua pihak terutama keluarga, sahabat dan peminat membuatkan dia tidak gentar berhadapan dengan tugasan yang diberi.
“Macam malam ini, saya kena nyanyi lagu joget. Terus-terang saya katakan inilah pertama kali saya menyanyikan lagu ‘Joget Siapa Dia’.
“Tetapi saya sahut cabaran yang diberikan untuk membuktikan saya adalah penyanyi dan boleh menyanyi dengan baik,” ujarnya.
Tambahnya lagi sejak menyertai GV2, dia sudah mula menerima tawaran menyanyi yang sangat luar biasa.
“Sayangnya tak dapat nak terima sebab kebanyakan show pada hujung minggu sedangkan saya sibuk bertanding GV,” katanya yang akan menyanyikan lagu ‘Aku Dan Dirimu’ bersama Alif Satar pada konsert keempat minggu hadapan.
Untuk menyaksikan persembahan Farahdhiya, jangan lupa tonton Gegar Vaganza 2 yang dibawakan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad (7 November) bermula 9 malam dan di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).
Teks Oleh: Hafiza Kamarudin
Must-Watch Video