Gudang dan ladang milik keluarga bintang filem antarabagsa Jennifer Lawrence musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku pada Jumaat.

Menurut USA Today, gudang yang terbakar itu merupakan tapak kem musim panas yang diberi nama Camp Hi-Ho di Simpsonville, Kentucky, Amerika Syarikat yang diusahakan oleh adik Lawrence, Blaine.

Menerusi kemaskini akaun Facebook Blaine, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku namun sedih atas insiden terbabit.

"Kami bersyukur ia tidak meragut nyawa dan haiwan ternakan kami. Namun, kami masih bersedih dengan kerugian besar hasil kerja-keras bertahun-tahun ini dan kenangan di gudang itu," ujarnya.

Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat sedang menyiasat punca kebakaran. Sebanyak enam jentera bomba terbabit memadamkan kebakaran itu.

Menerusi sebuah temubual pada 2019, ibu Lawrence, Karen memberitahu tapak kem musim panas itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik antaranya berkuda, memanah, memancing, berkayak, mendayung perahu dan tempat tidur Hammock City.

"Kanak-kanak boleh melepak di sana sepanjang hari dengan melakukan aktiviti membaca buku, melihat kupu-kupu atau berkebun," katanya.