Sekilas
- Datuk Afdlin Shauki memohon maaf kepada Aina Abdul jika gurauannya semasa FFM35 membuatkan penyanyi itu rasa kurang selesa dan menegaskan tiada niat untuk menyindir.
- Afdlin menjelaskan gurauan tersebut berkaitan saiz busana dan sudut kamera, bukan body shaming, serta mengakui dia peminat Aina yang kagum dengan keberanian fesyennya.
- Beliau turut memberi penjelasan kerana video gurauan itu tular dan disalahtafsir, sambil menegaskan dia selalu menyelitkan gurauan tentang rakan artis yang dikagumi ketika mengacara.
Selebriti versatil, Datuk Afdlin Shauki memohon maaf kepada penyanyi, Aina Abdul sekiranya gurauannya ketika mengendalikan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) baru-baru ini membuatkan penyanyi itu berasa kurang selesa.
Menerusi hantaran di Threads, Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan memaklumkan dia tidak berniat untuk menyindir Aina, sebaliknya menganggap penyanyi itu sebagai antara anak seni yang dikaguminya.
Malah, Afdlin mengakui dia merupakan salah seorang yang sangat meminati pelantun lagu Sumpah itu.
“Aina, kalau cara abang bergurau malam tu buat Aina rasa tak selesa, abang minta maaf. Abang tak berniat nak menyindir Aina.
“Abang memang big fan, dan insya-Allah kalau ada rezeki, abang teringin sangat nak bekerja dengan Aina suatu hari nanti.
“Abang memang peminat Aina Abdul. Abang ikuti perjalanan Aina dari jauh, tengok macam mana dia bina nama dan lalui macam-macam untuk sampai ke tahap sekarang.
“Dalam ramai-ramai artis kita, Aina antara yang paling berani bereksperimen dengan fesyen.
“Dia buat dengan begitu konsisten sampai orang nampak busana dari jauh pun dah tahu, ‘Ha, itu mesti Aina Abdul.’ Itu namanya branding yang menjadi,” tulisnya.
Mengulas mengenai gurauan yang dibuat, pengarah filem Buli ini tampil menjelaskan bahawa ianya merujuk kepada saiz busana serta ‘angle’ kamera dan sama sekali tidak menyentuh isu ‘body shaming’.
“Bila timbul soal body shaming, abang nak jelaskan apa yang abang rujuk. Punchline malam tu tentang saiz busana dan apa jadi pada pandangan kamera kalau busana segah itu ada di barisan depan.
“Abang sendiri dah lama menerima komen tentang tubuh badan, jadi abang tahu macam mana rasanya bila badan kita dijadikan bahan lawak.
“Abang sebut nama Aina sebab gaya dia cukup kuat sampai orang terus kenal. Keberanian dia itulah yang abang nak tonjolkan,” jelasnya.
Malah, Afdlin memaklumkan bahawa dia sememangnya gemar menyelitkan gurauan mengenai rakan-rakan selebriti setiap kali mengacarakan mana-mana majlis.
“Sebagai hos, abang suka selitkan gurauan tentang rakan-rakan seni yang abang kagumi. Sebab itulah abang petik nama Aina malam itu.
“Masa mengacara Anugerah Industri Muzik dulu pun abang pernah bergurau tentang Zee Avi, Sheila Majid, arwah Adibah Noor, Jaclyn Victor dan ramai lagi,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Afdlin merasakan dia perlu memberikan penjelasan memandangkan potongan video yang tular itu boleh disalahtafsir sesetengah pihak tanpa memahami konteks sebenar.
“Selalunya abang tak explain joke yang abang buat. Tapi kali ni abang nak jelaskan sendiri apa yang abang maksudkan masa FFM35.
“Cara orang menerima gurauan dah banyak berubah sejak zaman abang mula mengacara. Sekarang, beberapa saat dari satu malam boleh beredar sendiri dan orang dengar dengan macam-macam tafsiran.
“Sebab itu abang rasa elok abang beri konteks sendiri. Kepada yang menegur, abang dengar. Kepada yang dah lama tak berkenan dengan abang, abang doakan yang baik-baik juga.
“Abang jauh daripada sempurna. Abang cuma cuba buat sebaik mungkin dalam kerja dan dalam hidup,” katanya lagi.
Terdahulu, tindakan Afdlin yang telah menyebut nama Aina Abdul ketika mengendalikan anugerah berprestij FFM35 bersama Amelia Henderson telah meraih perhatian dan kecaman ramai.
Ujar netizen, tindakan Afdlin itu disifatkan sebagai tidak wajar ditambah pula Aina tidak mempunyai sebarang kaitan dengan anugerah yang berkaitan dengan industri perfileman.