Dua hari lalu, seorang pengguna laman sosial memuat naik beberapa keping foto seorang peniaga minuman di sebuah bazaar Ramadan menggunakan air paip tanpa dimasak, untuk jualannya.

Empat keping foto tersebut dikongsi pemilik laman sosial Facebook (FB) yang menggunakan nama Fendy Rusli UPP.

Menerusi foto tersebut jelas kelihatan seorang pemuda menadah air di hadapan sebuah premis sebelum menjinjing baldi kecil ke gerai minumannya.

Pemuda berbaju T merah jambu itu kemudiannya, tanpa rasa bersalah menuang air paip yang ditadah ke dalam balang dan membacuh minuman yang hendak dijual.

Menurut Fendy, walaupun paip di hadapan premis itu mempunyai penapis tetapi ia sebenarnya sudah lama tidak ditukar.

“Filter kat situ dah banyak tahun tak tukar…Luar kedai tepi longkang je paip tu. Tuan kedai buat cuci tangan je air paip tu, pulak tu ambik air tak mintak dengan tuan kedai.

“Saya ni puluh tahun duduk kat situ dan tahu kualiti air di kawasan rumah kedai tu,” tulisnya pada ruangan komen.

Bagaimanapun, ada pelayar FB yang menuduh Fendy sengaja menularkan foto tersebut untuk mengaib dan mengganggu rezeki peniaga minuman itu.

Fendy Rusli berkata, tujuan dia berkongsi foto tersebut bukan untuk menutup pintu rezeki orang lain jauh sekali mengaibkan.

Sebaliknya, mahu memberi pengajaran kepada pembeli di bazaar demi manfaat mereka,

“Tak de besar kuman nak aibkan orang, ada nampak ke muka orang tu? Bila ditegur tak jalan, ehhh… dia buat lagi.

“Ni saja nak bagi ingat kat pembeli-pembeli kawasan tu, demi manfaat mereka. Itu saja,” tulisnya yang turut berkongsi gambar penapis yang sudah legam.

Sungguhpun ada yang tidak bersetuju dengan tindakan Fendy, namun majoriti menyokong tindakannya memberi pengajaran kepada peniaga tidak jujur.

“Bab makan minum ni bukan benda main-main, jangan main ikut sedap je. Elok la kena viral supaya jadi peringatan pada yang lain.

“Sebungkus RM3 berapa banyak untung? Sebab air free je ambik. Kebersihan dan kualiti hancus...saya sokong orang yang viralkan ni,” tulis Acan Todak.