Minggu lalu, pelakon yang juga ikon fesyen, Wak Doyok mencetuskan kontroversi apabila menempah sebentuk cincin yang melambangkan peribadi institusi diraja kerabat Johor.

Susulan itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim menuntut Wak Doyok memberi penjelasan berhubung penggunaan lambang berkenaan.

Wak Doyok kemudiannya membuat kenyataan permohonan maaf kepada kerabat Diraja Johor atas kecuaian dan kesilapannya menyalahgunakan lambang peribadi institusi diraja itu.

BACA: Tempah Cincin Ukiran Lambang Peribadi Sultan Johor, Wak Doyok Mohon Maaf

Namun, hari ini Wak Doyok berdepan denda RM500,000 selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menggunakan lambang Kemahkotaan Sultan Johor tanpa kebenaran bertulis Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 30 April lalu.

Bagaimanapun menerusi Sinar Harian, Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd Azwan Md Nor, 41, mengaku tidak bersalah pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Wan Mohd Norhisham Wan Yaakob.

Berdasarkan pertuduhan, Wak Doyok didakwa menggunakan lambang kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim bagi tujuan persendirian tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada Sultan Johor.



Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri kira-kira jam 2.15 petang pada 30 April lalu.

Wak Doyok didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017. yang boleh dihukum denda antara RM250,000 dan RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan manakala tertuduh diwakili peguam.

Sumber : Astro Awani