Penyanyi Daiyan Trisya menyelar tindakan sebuah blog hiburan yang menggunakan panggilan 'awek cina' sebagai kata ganti nama untuk penyampai radio dan pengacara Melissa Th'ng.

Isu ini terjadi apabila blog terbabit menyiarkan berita mengenai personaliti media sosial, Jaa Suzuran yang kini dikatakan rapat dengan Melissa.

Kata Daiyan, dia bertindak bersuara mengenai isu ini kerana ingin mengubah cara pemikiran dan percakapan segelintir netizen.

"Saya memang berkawan dengan Jaa dan Melissa. Bila saya nampak tajuk utama sebuah blog seperti itu, saya rasa macam saja nak cari pasal kerana ia menimbulkan isu perkauman.

"Ini sangat tidak adil untuk Melissa kerana saya tahu dia seorang yang bekerja keras malah banyak melibatkan diri dengan industri seni.

"Dia seorang pengacara, model dan penyampai radio. Jadi dengan menggunakan panggilan 'awek cina' kepadanya, saya rasa tidak sesuai.

"Kalau tajuk utama itu boleh menggunakan nama Jaa yang sebenar kenapa tidak kepada Melissa.

"Saya ingin perkara seperti ini diubah kerana ia sangat sinonim dan sering digunakan oleh masyarakat kita. Kita patut melakukan sedikit perubahan," katanya kepada HLive.

Terdahulu, Daiyan menegur sebuah blog hiburan itu kerana merasakan tajuk utama salah sebuah cerita itu tidak sesuai digunakan.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).