Baru-baru ini tular mengenai isu Skim Rumahku Syurgaku berharga RM10 yang melibatkan beberapa penggiat seni tanah air telah ‘ditipu’

Isu tersebut terus hangat diperkatakan sehingga menarik perhatian penyanyi Datuk Awie untuk turut memberi pandangannya.

Jelas Awie, 53, dia menyedari akan isu berkenaan dan hairan dengan beberapa rakan artis yang terlibat serta begitu mudah terpedaya dengan skim tersebut.

“Apabila dapat tahu isu itu saya tergelak, kerana ada yang terlibat dalam itu merupakan kawan-kawan saya juga.

“ Mereka itu semua bijak pandai orangnya tetapi mengapa masih bersetuju untuk join skim tersebut?

“Ikut logik macam mana dengan skim harga RM10 tetapi dapat rumah harga RM500,000.

“Kemudian saya tengok beberapa perkongsian wanita itu (pengarah syarikat perumahan) cara dia bercakap, dia terlalu desperate, saya rasa dia kena check air kencing dia,” katanya.

Awie ditemui pada sesi sidang media Konsert Naga Kramat bertempat di Ancasa Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Awie, dia yang juga selaku Duta Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan penggiat seni lain agar tidak tertipu dengan jenis skim sedemikian.

“Jangan mudah terpedaya, perlu siasat terlebih dahulu perkara ini sehingga ke akar umbi, jangan bersekongkol dengan mereka yang asyik nak menipu orang sahaja.

“Saya kesian dengan artis-artis senior yang mengharapkan sesuatu daripada skim ini, yang sudah bertahun-tahun dalam industri tetapi tidak pernah dapat pembelaan.

“Jadi apabila ada skim sebegini kebanyakkan mereka teruja, rupa-rupanya dipermainkan juga.

“Kalau skim ini betul terkbukti satu penipuan, wanita itu patut di rejam! Banyak perasaan orang yang sudah dia mainkan,” tambahnya.

Dalam perkembangan lainnya, Awie dan Wings akan tampil dalam Konsert Naga Kramat yang bakal berlangsung pada 22 Oktober ini bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Tiket konsert sudah mula dijual secara atas talian di http://www.ticket2u.com.my/nagakramat.