Selepas kali terakhir muncul dengan filem Adnan Sempit Sawadikap pada tahun 2014, pelakon Yana Samsudin kini muncul dengan filem terbaru.

Menerusi sebuah filem seram berbahasa Mandarin terbitan produksi tempatan yang berjudul Happy Birth Death, Yana menjalani penggambaran filem ini pada November tahun lalu.

"Ini merupakan filem pertama lakonan saya selepas saya berhijab. Saya bersetuju untuk berlakon dalam filem ini kerana pengarahnya merupakan sahabat saya.

"Saya juga bersetuju kerana saya mahu mencuba untuk berlakon dalam produksi Cina tempatan. Filem ini menampilkan pelakon berdialog dalam Bahasa Mandarin sepenuhnya tetapi saya menyampaikan dialog saya dalam Bahasa Melayu," kata Yana kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, pengarah filem Happy Birth Death, Don Hoe mengharapkan agar filem ini dapat diterima oleh semua golongan di Malaysia.

"Bagi saya, filem yang mengangkat tema seram tidak mempunyai batasan penonton. Tak kiralah sama ada penonton Melayu, Cina atau India, filem seram memang akan diterima baik kerana jalan ceritanya.

"Saya juga memilih Yana untuk membintangi filem ini kerana mahu menonjolkan elemen 1 Malaysia. Saya berharap filem yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Pulau Pinang ini akan mendapat sambutan positif semua pihak di musim perayaan ini," katanya lagi.

Filem Happy Birth Death akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula esok (22 Disember 2016).

Teks oleh: Kamaruddin Razal