Gaya Hidup

Hampir 70 Tahun Kelabu, Pakaian Seragam Pengakap Malaysia Kini Warna Emerald Sea! - "Lebih Segar, Segak, Macho!"

gempak
Amri Hassan
30/03/2024
12:42 MYT
Sponsor Banner
Hampir 70 Tahun Kelabu, Pakaian Seragam Pengakap Malaysia Kini Warna Emerald Sea! - "Lebih Segar, Segak, Macho!"
Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) memperkenalkan pakaian seragam baharu yang lebih segar sejajar dengan perkembangan dunia kepengakapan moden pada era ini.
Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin berkata, pakaian seragam yang terdiri daripada baju berwarna ‘emerald sea’ dan seluar (aspen green) disifatkan lebih menarik dan efektif dengan reka bentuk baharu.

BERITA TRENDING: Pernah Raih Anugerah Pandu Puteri & Pengakap Laut Raja, Pencapaian Lama Leona Bikin Netizen Tergamam - “Girl Power With Brain”

Menurutnya, keputusan menukar pakaian seragam adalah satu langkah yang efisien bagi memastikan pergerakan kepengakapan negara sentiasa relevan dan dinamik dalam menyokong pembangunan golongan muda.
“PPM sentiasa proaktif dalam memastikan pergerakan kepengakapan negara terus bergerak selari dengan peredaran zaman. Sejak diasaskan di negara ini pada tahun 1908, pergerakan kepengakapan melalui pelbagai fasa evolusi dan perubahan bagi memastikan ia terus relevan dan dinamik dalam melahirkan pemimpin masa depan negara.
“Selepas 63 tahun tidak tampil dengan pakaian seragam baharu, PPM dengan sukacitanya mengumumkan pertukaran warna pakaian seragam kepada warna yang lebih segar dan moden yang dinamakan Pakaian Seragam Pengakap No. 3. Warna baharu ini lebih menarik, segar dan macho!
“Selain memberikan wajah baharu kepada pergerakan pengakap, langkah ini juga menjadi mekanisme baharu yang penting dalam usaha kita untuk mengawal dan membendung penjualan haram pakaian seragam yang semakin berleluasa.
“Ini adalah langkah proaktif yang diambil untuk memastikan imej dan integriti pergerakan ini sentiasa terpelihara dengan sebaik-baiknya. Terima kasih saya ucapkan kepada Seri Pertiwi yang turut sama bertungkus-lumus dalam memberikan input untuk pertukaran pakaian seragam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pakaian Seragam Pengakap No. 3 di ibu pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ganti pakaian seragam lama secara berperingkat

Menurutnya, PPM akan memberi kelonggaran kepada ahli untuk menggantikan pakaian seragam lama kepada yang baharu secara berperingkat.
“PPM ingin menekankan bahawa pelaksanaan pertukaran pakaian seragam ini tidak akan membebankan ibu bapa atau ahli. Proses ini akan dilaksanakan secara berfasa, dan pakaian seragam lama masih boleh digunakan dalam tempoh peralihan iaitu tiga tahun lagi.
“Tiada paksaan kepada mana-mana ahli untuk menukar pakaian seragam mereka. Bagi pelajar yang kurang berkemampuan, mereka boleh memakai skarf untuk menyertai sebarang aktiviti
“Penggunaan warna kelabu sebelum ini didapati menimbulkan permasalahan, terutamanya dalam mendapatkan tona yang konsisten. Dengan warna baharu yang dipilih, ia diharapkan dapat menyediakan penyelesaian yang lebih praktikal dengan pakaian yang lebih seragam secara keseluruhan,” katanya.

BERITA TRENDING: Berseluar Pendek & Stoking Panjang, Fesyen ‘Pengakap’ Ara Johari Terima Kecaman Netizen

Harap dapat tarik lebih ramai ahli

Sementara itu, PPM berharap pertukaran pakaian seragam baharu dapat menarik lebih ramai ahli baharu sekali gus mempertingkatkan pertumbuhan keahlian.
“Ia adalah satu pencapaian besar yang menunjukkan PPM sedang memasuki fasa baharu. Kita sepatutnya berbangga kerana berjaya merealisasikan usaha penyegaran jenama pengakap ke arah sebuah pergerakan yang lebih berketrampilan dan moden selaras dengan misi dan misi Pengakap Dunia.
“Pakaian seragam baharu ini adalah lambang identiti dan kebanggaan bagi setiap ahli PPM. Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk menghargai dan memelihara pakaian seragam ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024