Hiburan
"Hampir Pernah Rasa Putus Asa, Tapi..." - Nadya Syahera Akui Perjalanan Membina Keluarga Tak Mudah!
Pelakon Nadya Syahera mengakui perjalanan untuk membina keluarga bukannya satu perkara yang mudah.
Memuat naik rakaman video dirinya bersama suami dan anak-anak, Nadya mendedahkan perkara terbabit menerusi kemas kini terbaru di laman sosial Instagram miliknya.
"Keluarga kecilku. Perjalanan untuk jadi sebuah keluarga bukannya mudah.
"Banyak jatuh bangun berendam air mata juga. Hampir pernah rasa putus asa tapi balik pada hati dan nawaitu yang awalnya hanya ingin BAHAGIA," tulis Nadya.
Tambah pelakon drama bersiri Dia Semanis Honey ini lagi, ujian yang datang kadangkala membuatkan dirinya rasa tidak mampu untuk menanggung dugaan.
"Datanglah ujian, dugaan, cubaan yang kadang sampai rasa tak mampu nak tanggung tapi sebabkan nawaitu dan izin Allah, Insya-Allah akan ku teruskan cita dan nawaitu itu sehingga akhir hayatku. Ameen.
"Lah, puitis pulak memalam. Tak apalah, whatever it is, semoga kita semua dapat BAHAGIA yang kita idam-idamkan. Selamat malam," tulisnya lagi.
Beberapa bulan lalu, Nadya pernah menghadapi krisis rumah tangga dengan suaminya, Fizul Nawi.
Namun begitu, pasangan ini berjaya menyelesaikan masalah yang terjadi dan mencari jalan damai.
Bernikah pada 25 September 2015, perkahwinan Nadya dan Fizul diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata iaitu Aleena Rose dan Mohamad Dayyan.
Dalam perkembangan lain, drama bersiri lakonan Nadya, Satukan Rasa bakal menjengah kaca televisyen tidak lama lagi.
Mendapat sentuhan pengarah Hadith Omar, Satukan Rasa menampilkan lakonan Siti Nordiana, Khai Bahar, Nine (Billy Zulkarnain), Yusuf Bahrin, Raja Azmi dan ramai lagi.
Satukan Rasa disiarkan di slot Megadrama bermula 4 November 2019, Isnin hingga Khamis jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Must-Watch Video