Laman Utama
Hannah Delisha Dedah Pertemuan Pertama & Sebab Rahsiakan Percintaan Dengan Imam Shah
Umum mengetahui pelakon jelita, Hannah Delisha selamat diijabkabul bersama suaminya yang juga pelakon dari Singapura, Imam Shah semalam.
Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne-Birch meluahkan rasa syukur kerana selamat disatukan.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana semuanya berjalan lancar," katanya.
Bercakap mengenai perkahwinan yang mengejutkan ramai itu, Hannah sebenarnya lebih selesa untuk menjaga privasi terutamanya hal-hal peribadi.
"Saya mohon maaf, saya memang kurang selesa berkongsi hal peribadi.
"Saya tak pernah kongsi di media sosial pun yang saya bercinta sebelum ini. Bagi saya, biarlah kita sah dahulu barulah kongsi kepada orang lain, dahulukan yang wajib, itulah yang utama," katanya lagi.
Dalam pada itu, Hannah sempat berkongsi sedikit cerita mengenai suaminya itu. Menurutnya, dia telah lama mengenali Imam Shah sejak mereka berlakon bersama di Singapura lima tahun lalu.
"Saya kenal dia ketika kami sama-sama jalani penggambaran drama episod bertajuk Faculty lima tahun lepas.
"Imam adalah seorang yang sangat penyabar, penyayang dan kelakar," katanya.
Tambah Hannah, Imam juga menjadi pendorong untuk dia cenderung kepada aspek keagamaan.
"Dialah yang sebenarnya banyak mendorong Hannah untuk lebih cenderung ke arah keagamaan dan Alhamdulillah, diri saya sekarang sedikit sebanyak adalah hasil bimbingan Imam juga," tambahnya.
Difahamkan, pasangan ini belum memilih tarikh resepsi memandangkan pandemik COVID-19 masih belum reda.
Hannah dan Imam disatukan dalam majlis kecil-kecilan di negara kelahiran Hannah, Singapura secara tertutup dan dihadiri beberapa ahli keluarga daripada kedua belah pihak sahaja.
Must-Watch Video