Drama premium terbitan Astro Originals, Kampong Pisang Bersiri-siri akan menemui penonton dengan episod kesepuluh berjudul Pomcom Kampong Pisang pada malam ini.

Diarahkan oleh sutradara tersohor, Mamat Khalid, episod kali ini menampilkan Ozlynn Wati yang memegang watak Cik Chom Bagan selaku ketua kontraktor dan Joey Daud (Posmen Daud) sebagai pelakon jemputan.

Dalam episod kali ini, penduduk kampung diganggu kelibat hantu pocong yang menyeramkan.

A post shared by Astro Shaw Sdn Bhd (@astroshaw)


Penduduk, kampung dihantui dengan bunyi-bunyi seram yang ternyata adalah gangguan daripada hantu pocong.

Pada mulanya mereka tidak tahu akan punca permasalahan ini.

Namun, setelah diselidik mereka semua tahu bahawa kawasan tempat tinggal pocong itu telah diceroboh dan mahu dijadikan kawasan perumahan oleh pihak luar.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).