Hiburan
Hargai Jasa Polis, Harith Iskander Sumbang Topeng Muka & Bekalan Makanan
Pelawak Harith Iskander telah menyumbang topeng muka dan bekalan makanan kepada Ibu Pejabat Polis Negeri (IPK) Shah Alam.
Menurut Harith, sumbangan yang diberi pada Hari Polis Ke-213 adalah untuk dimanfaatkan oleh pihak polis yang bekerja keras ketika negara berhadapan pandemik COVID-19.
Harith berkongsi perkara itu menerusi entri di akaun Instagram miliknya semalam.
"Saya telah menyumbang topeng muka dan makanan kepada YDP DCP Datuk Arjunaidi, TKP Selangor untuk anggotanya yang berjuang di barisan hadapan.
"Sebenarnya sumbangan ini tidaklah sebesar mana, tetapi ia menjadi istimewa kerana diberi pada Hari Polis ke-213," tulisnya sebagai kapsyen.
Dalam pada itu, Harith turut menyertakan nombor akaun bank kepada orang ramai yang mahu menyumbang untuk meringankan beban petugas barisan hadapan ketika ini.
Perkongsian itu mendapat perhatian dari warganet, kebanyakan antara mereka memuji usaha murni Harith itu.
Semalam, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan telah dilanjutkan sehingga 14 April 2020.
Sebagai rakyat Malaysia, mari kita sama-sama mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dari pihak kerajaan untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 dengan segera.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan menggunakan sabun selama sekurang-kurangnya 20 saat, pakai topeng muka ketika perlu, gunakan 'sanitizer', amalkan penjarakkan sosial serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video