Harith Iskander, Adibah Noor Elak Lawak Persenda Fizikal Di AIM 22
"Pada acara itu nanti kami akan mengendalikannya secara spontan dan tiada pelan yang detail tetapi kami masih lagi tidak lari dari agenda utama AIM.
"Jadi apa yang terlintas di kepala kami nanti, itulah yang kami akan bawakan di atas pentas.
"Sebagai penghibur juga kami akan selitkan unsur-unsur komedi tapi saya sentiasa beringat supaya tidak menyentuh atau mengusik mengenai fizikal seseorang.
"Saya faham orang akan lebih sensitif jika kita membuat lawak mengenai fizikal mereka," katanya kepada Astro Gempak.
Adibah dan Harith ditemui selepas acara sidang media pengumuman pengacara dan penyampai trofi di AIM22 yang akan berlangsung pada 18 Disember.
Sementara itu, Harith pula memberitahu teruja bergandingan dengan Adibah di acara berprestij tersebut.
"Ini pertama kali kami digandingkan untuk acara pentas berprestij sebegini tapi kami sebenarnya sudah biasa mengendalikan acara bersama di luar kaca televisyen.
"Jadi chemistry kami sudah terjalin dan tidak kekok bergandingan bersama.
"Lagipun kami sudah lama berkawan dan sekepala sebab kami pun lahir dari era yang sama.
"Saya rasa nanti kami dapat kendalikan acara itu dengan baik," kata Harith.
AIM22 yang membawa slogan Kemuncak Segala-galanya terus menjadi pelantar untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada penggiat industri muzik yang telah berjaya menghasilkan karya-karya terbaik.
Antara artis yang akan menyampaikan trofi pada malam tersebut seperti Aaron Aziz, Amar Baharin, Amyra Rosli, Dato' M. Nasir, Hafiz Suip dan ramai lagi
Acara bakal dimeriahkan lagi dengan persembahan penyanyi ternama tanahair serta penyanyi baru seperti Aiman Tino, Akim & The Majistret, Ameng, Dato' AC Mizal, Dato' Siti Nurhaliza, Yuna, Faizal Tahir dan ramai lagi.
Majlis AIM 22 akan didahului dengan acara karpet merah yang bakal dikendalikan oleh Aril Pilus dan duta Sweedskin, Shamim Faris bermula jam 8.30 malam sehingga 9 malam.
Acara kemuncak ini bakal berlangsung di Dewan Merdeka PWTC dan ditayangkan secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pukul 9 malam pada 18 Disember ini.
Teks oleh: Syafiqah Jalal