Kumpulan pop British One Direction yang telah berpecah pada tahun 2015 ada ura-ura untuk kembali bersama.

Reunion itu dijangka diadakan bersempena ulang tahun ke-10 penubuhan kumpulan itu pada tahun ini.

Memetik laporan Daily Mail UK, tanda pagar #OneDirectionReunion mula tular sekitar minggu lalu selepas bekas ahli Harry Styles, Niall Horan, Louis Tomlinson dan Liam Payne dilihat mengikuti semula akaun Twitter Zayn Malik.

Salah seorang anggota Liam Payne turut memberitahu The Sun UK yang mereka kini kerap berhubung.

“Kami ada ulang tahun ke-10 tidak lama lagi, jadi minggu lalu kami sering berinteraksi dan bersembang, memang best.

“Inilah masa yang sesuai untuk kami saling berhubung,” jelas Payne kepada The Sun UK.

Belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada jurucakap kumpulan tersebut, para peminat di seluruh dunia sudah menjangkakan satu reunion berpotensi untuk diadakan.

Terdahulu, Zayn menjadi anggota pertama yang keluar daripada kumpulan tersebut pada tahun 2015.

Kini setiap daripada mereka tampil sebagai penyanyi solo.