Hasrat penyanyi Najwa Latif untuk muncul dengan single baru pada awal tahun ini tidak kesampaian.

Dedah Najwa, perancangan terbabit tergendala kerana penularan wabak COVID-19.

"Pada awalnya, saya merancang mengeluarkan single baharu pada awal tahun ini, tetapi disebabkan beberapa hal yang tak dapat dielakkan dan seterusnya kita menempuhi Perintah Kawalan Pergerakan, rancangan terbabit terpaksa ditunda," kata Najwa.


Tanpa dirancang, sekitar Mac lalu, Najwa mendapat idea untuk menghasilkan sebuah lagu berjudul Tak Kisah Pun.

"Perjalanan dan pembikinan lagu ini sangat santai, semuanya dihasilkan dalam tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sebenarnya, versi akustik lagu ini sudah muat naik di YouTube. Disebabkan ramai yang suka, kami setuju untuk merakamkannya.

"Kali ini, saya menampilkan penyanyi rap baru bernama Akwa Arifin. Pada mulanya, saya sendiri meminati karya-karya Akwa yang didengari di laman YouTube," katanya lagi.

Lagu Tak Kisah Pun dihasilkan oleh Najwa dan adik beradik yang menggelarkan diri mereka sebagai Ellgee, manakala liriknya dihasilkan dengan kerjasama Akwa.

Ia berkisarkan mengenai seseorang yang menerima pasangan mereka seadanya.

Kali terakhir Najwa mengeluarkan single adalah sekitar Ogos tahun lalu iaitu Kau Lupa Itu Aku.

Menurut Najwa lagi, dia amat teruja dengan single terbaharu ini tambahan pula ini merupakan produk sulung dari syarikat rakamannya sendiri NL Entertainment.

Selain itu, penyanyi yang mula popular dengan lagu Cinta Muka Buku itu, dia sibuk dengan kerjayanya sebagai pensyarah subjek Bahasa Inggeris di UNITAR International University.

"Kini sudah lebih dua tahun saya mengajar. Jujurnya, saya gembira dengan apa yang saya usahakan sekarang ini," katanya yang turut mengusahakan perniagaan tudung jenamanya sendiri “Najwal”.

Muzik video Tak Kisah Pun telah dilancarkan pada 19 June lalu dan kini mencecah lebih 640,000 tontonan dan masih berada di carta trending TouTube.