Laman Utama
Hati-Hati Mendaki, Wanita Berusia 52 Tahun Sesat 20 Jam di Botani Hill Akhirnya Ditemui
Seorang wanita yang sesat hampir 20 jam di dalam hutan sewaktu melakukan aktiviti mendaki bukit di Botani Hill, Jalan Kebun Bunga berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang (JBPM) semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi JBPM negeri, wanita berusia 52 tahun itu dilaporkan hilang pada jam 4.04 petang Sabtu selepas keluar mendaki bersendirian di kawasan berkenaan.
Mangsa ditemui pada jam 2.57 petang tadi dalam keadaan selamat.
Beliau berkata, mangsa yang kelihatan tidak bermaya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan mendapati, mangsa telah tersesat selepas gagal menjumpai jalan keluar semasa melakukan aktiviti pendakian.
"Wanita itu dapat dihubungi melalui panggilan telefon dan juga telah menghantar lokasi mereka melalui aplikasi WhatsApp kepada komander operasi namun dia gagal dihubungi dan pencarian hanya berpandukan kepada lokasi terakhir yang dihantar itu sahaja," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa hingga lewat malam pada Sabtu namun wanita itu gagal dikesan.
Operasi mencari kemudian disambung bermula jam 8 pagi pada Ahad dengan penambahan anggota pencarian seramai 44 orang yang terdiri daripada pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba sukarela.
"Tindakan operasi melakukan pencarian di kawasan Air Terjun Botani dengan jarak 2 kilometer (km) dari kaki bukit.
"Pencarian dibahagikan kepada empat sektor pencarian yang bermula dari kawasan air terjun dengan radius 2 km sebelum mangsa berjaya ditemukan pada jam 2.57 petang tadi dalam keadaan selamat sebelum operasi terbabit ditamatkan pada jam 4.45 petang,” kata kenyataan tersebut.
Sumber: AWANI
Must-Watch Video