Highlights
Hikmah PKP Terhadap Alam Sekitar – Tiada Lagi Air Sungai ‘Teh Tarik’ Dan Pencemaran Udara, Bersihnya!
Sama ada kalian sedar atau tidak, persekitaran kita khususnya kualiti udara dan air kini menunjukkan peningkatan ketara sejak PKP dikuatkuasakan di seluruh negara. Inilah impaknya apabila PKP dilaksanakan yang menyekat pergerakan kita. Dan sekatan pergerakan ini juga secara tidak langsung menyebabkan kebanyakan aktiviti dan operasi perindustrian, perkilangan dan pengangkutan berkurangan secara drastik dan berlaku hampir di seluruh dunia. Dalam erti kata lain, ia memberi kesan baik kepada bumi yang dihuni hampir lapan billion penduduk dunia.
Kredit Foto: Google
Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pada keseluruhannya Indeks Pencemaran Udara (IPU) sebelum PKP fasa satu dan semasa PKP fasa kedua menunjukkan 14 peratus peningkatan bilangan hari yang mencatatkan IPU bersih di seluruh negara. Hasilnya, kualiti udara dan air khususnya di sungai-sungai dan perairan negara lebih bersih dan jernih daripada sebelumnya. Inilah salah satu hikmah yang turut dirasai bumi kita. Bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia juga mendapat manfaatnya. Apabila kita ‘diberi rehat’ alam sekitar juga dapat kembali ‘bernafas’. Walaupun secara amnya kita tidak mampu menghirup udara segar sementelahan diperintahkan untuk kekal duduk dirumah, tetapi melihat perkongsian foto-foto mengenai sungai yang kembali jernih dan udara yang semakin bersih di media sosial cukup untuk menenangkan jiwa.
Kredit Foto: Google
Betapa sebelum ini, ia tercemar dan dikotori oleh tangan-tangan kita yang membinasakan keindahannya. Dan apabila terhenti semua pergerakan dan rutin asasi kita, barulah kita berupaya untuk menghargainya. Inilah waktu terbaik untuk kita mensyukuri peluang yang ada. Alam sekitar dan bumi juga setiap apa yang tercipta di alam ini semua adalah milik-Nya. Menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara dan menjaganya.
Kredit Foto: Google
Cuba kita teliti dan fahami firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Surah Ash-Shura, ayat 30)
Kredit Foto: Google
Waktu ini paling ampuh untuk kita menginsafi segala perbuatan dan kesalahan yang dilakukan sama ada secara sedar atau tidak, sama ada terhadap diri atau orang lain. Juga sama ada kesalahan kita terhadap persekitaran yang dihuni selama ini. Masih belum terlewat untuk kita bertaubat dan cuba memperbaiki segala yang dilakukan.
Dan firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat ke-41 yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan atas perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. Benar-benar menjentik hati dan emosi kita kala ini. Ayuh kita sama-sama cuba perbetulkan kembali apa yang silap dan salah selama ini.
Kredit Foto: Google
Must-Watch Video