Hisyam Hamid Gementar Jadi Lelaki ‘Autisme’, Hariz Hamdan Pula Tak Sangka Lakonan Jahat Menjadi Dalam Drama ‘Bunga Salju’
Asyikin Mayudin
19/06/2024 06:55 MYT
19/06/2024 06:55 MYT
Pelakon Hisyam Hamid mendedahkan buat kali pertama dia membawakan watak seorang lelaki autisme dalam drama siri yang sedang ditayangkan di Astro Ria iaitu Bunga Salju.
Bimbang Dengan Kritikan
Hisyam mengakui watak Azizi sangat mencabar, bahkan sebelum memulakan penggambaran dia membuat kajian kerana bimbang akan kritikan andai tidak melakonkan karakter seorang lelaki autisme dengan betul.
“Saya agak gementar ketika diberi watak Azizi, jadi saya buat kajian dengan tonton filem luar negara dan pergi ke NASOM selain berjumpa dengan lelaki yang wataknya sama dengan Azizi.
“Lelaki itu bernama Syafiq berusia 29 tahun, bekerja dalam bidang IT dan seorang high functioning autism sama seperti watak Azizi. Dia seorang yang sangat bergantung kepada nasihat ibunya.
ARTIKEL BERKAITAN: Transformasi Gaya Rambut Syafiq Kyle Mengikut Filem & Drama, Mana Satu Paling Onz?
ARTIKEL BERKAITAN: Akui Sukar Lakonkan Watak Autistik, Hisyam Hamid Ambil Inisiatif Pelajari Sikap Individu Autisme
“Saya perhatikan cara dia bercakap, berjalan dan gerak tangannya, hasilnya adalah apa yang penonton lihat dalam drama Bunga Salju,” ujar Hisyam.
Syukur Watak Diterima
Jelas Hisyam, dia bersyukur watak Azizi lakonannya diterima ramai, malah rata-rata penonton mengakui lakonannya sama seperti orang autisme.
“Saya ada baca komen-komen penonton di laman sosial, rata-rata mereka tidak tahu ada orang autisme seperti Azizi.
“Malah ada yang komen mahukan lelaki seperti Azizi kerana jujur (ketawa). Apapun saya gembira naskhah ini selain hiburan turut memberi kesedaran kerana penonton bahawa ada orang autisme yang high functioning dan ada kalanya mereka lebih bijak daripada orang normal,” ujar Hisyam.
Hariz Kali Pertama Bawa Watak Antagonis
Dalam pada itu, aktor Hariz Hamdan yang membawa watak Farouk turut memberitahu, ini kali pertama dia membawa watak antagonis yang begitu jahat.
Meskipun dibenci dan dikecam penonton, Hariz melahirkan rasa gembira apabila akonannya memberi kesan kepada penonton.
“Sepanjang drama ini bersiaran saya sudah bersedia untuk dibenci dan dikecam penonton kerana Farouk memang sangat jahat.
“Selain membuat kajian sendiri, saya juga dibantu oleh pelakon-pelakon senior yang hebat di set penggambaran seperti Hasnul Rahmat dan Zul Huzaimy,” kongsi Hariz.
Naskhah Bunga Salju yang telah bersiaran sebanyak 21 episod daripada 40 episod secara keseluruhan, mengisahkan Qaisara terpaksa berkahwin dengan Azizi seorang lelaki austistik bagi memenuhi keperluan ibunya dan teman lelaki Farouk demi mendapatkan harta Azizi.
Drama terbitan MIG ini dibintangi oleh Hisyam Hamid, Amyra Rosli, Hariz Hamdan, Zarina Zainoordin, Hasnul Rahmat, Syad Talib, Zul Huzaimy dan Arabella Ellen.
Episod baharu Bunga Salju ditayangkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104).
Drama ini juga boleh ditonton menerusi ON Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go serta Sooka untuk pilihan yang lebih fleksibel.