Skip to main content

Filem

Honda CR-X masih diminati kaki ubah suai kereta

modifikasi-honda-crx-02_1.jpg

Jika berkunjung ke Johor Bahru, sudah pasti nama bengkel RS Auto sentiasa menjadi bualan kaki ubah suai kereta selepas sentiasa menghasilkan jentera Honda yang hebat.

Seperti model lama Honda CR-X ini, ia adalah jentera EF6 yang boleh dikatakan paling ringan dalam keluarga mereka.

Bagi model seperti ini, pastinya rangkaian kuasanya tidak akan diabaikan. Sudah pastinya juga enjin yang lebih berkuasa menjadi pilihan untuk disesuaikan terhadapnya.

Ruangan blok B18C serta ‘sleeve’ S90 dimuatkan omboh berjenama CP Carillo berukuran 86mm dan digandingkan ‘conrod’ jenama sama.

Bagi memberi lebih ketahanan atas desakan kuasa yang bakal dilalui, semua galas (bearing) asal digantikan dengan jenama ACL.

Blok itu kemudiannya dipadankan dengan kepala silinder B16B yang melalui proses ‘port n polish’ dan dipasangkan bersama aci sesondol Skunk2 Pro 3 serta diikat pada takal boleh laras Toda.

‘Retainer’ dan spring injap menggunakan jenama Skunk2, manakala injap pula daripada jenama Supertech. Bahagian kepala silinder itu kemudiannya diikatkan pula dengan unit 4 pendikit jenis ITB (Individual Throttle Body).

Selain itu, bahan api dari tangki utama dipam masuk melalui pam Bosch 054 ke pelaras Works seterusnya dihantar ke rel Toda dilengkapi dengan injektor FIC bersesaran 440cc.

Penjanaan enjin menjadi lebih lancar dengan bantuan kabel palam pencucuh TM Works. Sistem penyejukkan enjin juga dibantu dengan radiator aloi AVS yang diikat di bahagian hadapan.

Pada masa sama, gas karbon yang terhasil dalam enjin kemudiannya dihantar keluar melalui ekstraktor 4-2-1 Jasma Mugen yang bersambung pada sebatang paip ekzos pendek binaan khas.

Kuasa yang dihasilkan menjadi lebih berprestasi dengan penggunaan sistem ECU Hondata S300 yang akan memastikan talaan enjin lebih teratur dan sempurna.

Kotak gear YS1 dengan ratio 1,2,3 dan 4 dari Spoon dengan final drive 4.0 serta klac OS Giken akan memastikan kuasa dihantar ke bahagian roda berada pada kadar yang dikehendaki.

Bagi tahap kestabilan yang lebih hebat, badan jentera dipasangkan sistem penyerap hentak boleh laras Zeal HLSH Body Shift.

Kuasa hentian diberi tugas kepada sistem brek asal jentera ini yang dilengkapi pelapik brek dari Bendix Metal King untuk cengkaman lebih mantap.

Selain enjin, ruang dalaman disalinkan keseluruhannya dari model EF8 dan diserikan dengan stereng Momo Race, tempat duduk serta tombol gear Mugen.

Pada bahagian papan pemuka akan kelihatan meter RSM bagi memantau aktiviti yang berlaku di dalam enjin.

Sementara itu, penampilan luaran masih lagi kekal asal cuma boleh dilihat penggunaan bonet J’s Racing di bahagian hadapan, manakala cermin sisi dibuat daripada bahan gentian karbon.

Baca juga:

>>Honda Civic EF Vtec Turbo.

>>Honda Civic EK2 ini tampak ringkas, tetapi bergaya.

Advertisement