HIBURAN
Hubungan Jarak Jauh Jadi Cabaran, Elizabeth Tan Masih Usaha Dapatkan Zuriat - “Bagi Saya Ia Tidak Romantik Sebab…”
Pelakon dan penyanyi , Elizabeth Tan mengakui masih berusaha untuk mendapatkan zuriat bersama suaminya, Dr Siew Jim Ding.
Meskipun masih mencuba, Elizabeth atau nama penuhnya Tan Su Mei, 31, percaya bahawa rezeki anak bergantung kepada ketentuan Tuhan.
Anak Rezeki Tuhan
“Sebenarnya kami masih mencuba tapi masih tidak dapat, tak tahulah badan i ada problem ke apa sekarang dah lebih setahun kami cuba. Mungkin ia bukan masa yang sesuai lagi untuk saya.
“Saya dan suami pun dah cuba sebaik mungkin, kami dah pergi jumpa doktor tapi kalau tuhan kata belum rezeki maka ia belum rezeki kami lagi,” katanya kepada Gempak.
Elizabeth atau lebih mesra disapa sebagai Lizzy, turut berkongsi bahawa dia dan suami kini terpaksa menjalani hubungan jarak jauh kerana tuntutan kerja suaminya di Tapah, Perak.
“Ada satu lagi masalah sebab suami saya kena posting dekat Tapah. Kami berjauhan sekarang jadi seminggu dalam sebulan dia akan balik atau saya akan pergi ke sana. Jadi bagi saya ia tidak romantik sebab ibarat satu komitmen untuk dapatkan anak,” ujarnya ringkas.
Elizabeth ditemui Gempak ketika menghadiri set pengambaran Wantugo di I-City, Shah Alam pada Rabu.
Tidak Tertekan Dengan Soalan Mengenai Anak
Pelantun lagu Semua Sudah ini juga berkata dia tidak kisah jika orang sekeliling sering bertanya mengenai soal anak.
“Ramai juga yang bertanya kepada saya soal anak, tapi saya jawab sahaja elok-elok. Saya malas nak explain panjang-panjang.
“Tapi saya pun tidak kisah mereka tanya soal anak sebab saya pun kadang-kadang tanya dekat orang,kita sebenarnya teruja nak tahu seseorang bila akan mengandung jadi saya faham sahaja jika mereka bertanya” katanya berseloroh.
Sebelum ini, Elizabeth dilaporkan mengalami keguguran sebanyak dua kali pada tahun lalu.
Untuk rekod, Elizabeth dan Siew Jim mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2021.
Must-Watch Video