HIBURAN
Hun Haqeem Tersentuh Hati Lihat Masih Ada Anak-Anak Tinggalkan Ibu Bapa - “ Isu Ini Sudah Kritikal…”
Pelakon, Hun Haqeem meluahkan rasa syukur dapat bersama-sama menyertai program berbuka puasa bersama warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah menerusi inisiatif ‘Zayan Kongsi Rezeki’ yang dianjurkan oleh Radio Zayan.
Menurut Hun atau nama sebenarnya, Haqeem Hermy, 28, kunjungan tersebut telah membuka matanya tentang realiti kehidupan sesetengah warga emas yang ditinggalkan oleh anak-anak mereka.
“Saya rasa sangat bertuah dapat menyertai Astro untuk memeriahkan majlis ini. Secara tidak langsung, kami bukan sahaja dapat membantu tetapi juga mengenali lebih dekat tentang kewujudan pusat jagaan ini.
“Kami juga dapat berinteraksi dengan mereka yang bertanggungjawab menguruskan tempat ini. Alhamdulillah, mana tahu pada masa depan kami pula dapat memberi sumbangan kepada pusat jagaan ini. Sejujurnya, perasaan saya bercampur baur, sudah semestinya kita rasa sedih bila melihat ibu bapa yang pernah membesarkan anak-anak kini menghabiskan sisa hidup mereka di pusat jagaan tanpa keluarga di sisi.
“Bila saya berkesempatan untuk berbual dengan mereka secara peribadi, banyak momen yang menyentuh hati. Ini bukan sekadar pengalaman biasa, tetapi satu pengajaran besar serta peringatan buat saya dan mana-mana artis yang hadir hari ini,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, pelakon Honey Minta Maaf itu turut menekankan kepentingan untuk meningkatkan kesedaran tentang isu pembuangan ibu bapa kepada masyarakat umum.
BERITA BERKAITAN: Zizan Razak, Hun Haqeem, Anna Jobling & Personaliti Radio Zayan Santuni Warga Emas Pusat Jagaan Mahmudah
BERITA BERKAITAN: Sudah Cuba Yang Terbaik Hiburkan Penonton, Hun Haqeem Akui Sukar Nak Jangka Jumlah Kutipan Filem - "Kita Ambil Risiko..."
Katanya, isu ini perlu ditangani dari awal iaitu melalui pendidikan tentang tanggungjawab terhadap ibu bapa.
“Macam yang saya sempat berbual dengan pengurus pusat jagaan ini, mereka sangat-sangat berharap agar lebih ramai orang cakna tentang isu ini. Bukan sahaja anak muda, tetapi semua peringkat usia.
“Mereka beritahu saya bahawa isu ini sudah menjadi kritikal kerana ruang pusat jagaan ini sangat terhad. Bukan itu sahaja, untuk menguruskan warga emas di sini juga memerlukan bajet yang besar. Saya rasa perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Sangat menyedihkan bila melihatnya dengan mata sendiri,” ujarnya.
Sekadar info, stesen radio Zayan menganjurkan program berbuka puasa dan Zayan Kongsi Rezeki di Pusat Jagaan Mahmudah, Semenyih, dengan mengagihkan 1,500 pek bubur lambuk kepada penghuni dan penduduk sekitar.
Selain Hun program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti seperti Zizan Razak,, Anna Jobling, Alif Satar, Faizal Ismail, dan ramai lagi.
Program ini merupakan sebahagian inisiatif ESG Astro, program ini mendapat sokongan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd yang turut menyumbangkan Bakul Ceria Adabi dan duit raya kepada pusat jagaan.