Sebelum pergi menghadap Illahi pada tahun lalu, allahyarham penyanyi Siti Sarah Raissuddin ada berniat untuk membantu dua keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di Bachok, Kelantan.

Sungguhpun jasadnya telah tiada, namun hasrat hati Siti Sarah akhirnya terlunas sudah apabila Shuib sendiri turun ke negeri itu untuk menyerahkan kunci rumah baharu kepada mangsa yang terlibat.

Hal tersebut dikongsikan sendiri oleh Shuib menerusi perkongsiannya di Instagram baru-baru ini.

A post shared by Shuib Sepahtu (@shuibsepahtu)


“3 Februari 2021. Ibu lah yang paling semangat nak bantu dua keluarga ini untuk ada rumah baharu. Alhamdulillah hari ini Daddy akan ke Bachok, Kelantan untuk penyerahan kunci.

“Terima kasih top management Bubblee Malaysia yang merealisasikan impian untuk melihata dua rumah ini dibangunkan.

“Ibu… Alhamdulillah, dah siap rumahnya saya,” tulis Shuib.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata memberikan respons positif terhadap perkongsian Shuib itu, terutama daripada rakan-rakan selebriti.

“Murah rezeki awak dunia akhirat,” tulis Datuk Fizz Fairuz

“Syukur Alhamdulillah,” ungkap Mark Adam pula.

Dalam pada itu, ada juga yang turut berkongsi rasa sedih dan mengakui masih rindu terhadap penyanyi berbakat besar itu.

“Rindunya pada arwah. Hingga ke hari ini, masih terkesan dengan pemergian arwah. Al-Fatihah buat arwah Siti Sarah Raissuddin,” tulis seorang netizen.

Terdahulu, media turut melaporkan lagu terakhir yang sepatutnya dinyanyikan oleh Sarah berjudul Sudah akhirnya dirakamkan oleh pemenang tempat kedua Gegar Vaganza 8, Nikki Palikat.

Untuk rekod, allahyarham Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempatnya Ayash Affan dalam keadaan dijangkiti virus COVID-19.

BACA: Lagu Terakhir Arwah Siti Sarah Diberi Pada Nikki Palikat, Shuib; “Lagu AJL You Dah Ada Orang Nyanyi”

BACA: Sumbang Derma, Nama Siti Sarah Diabadikan Pada Dewan Rumah Anak Yatim - “Semua Dah Siap Arwah Pergi”