Penyanyi Hafiz Hamidun mengakui belum terfikir untuk berumah tangga sekali lagi meskipun sudah mempunyai seorang anak angkat bernama Hamdee Hafiz sejak 11 bulan yang lalu.

Menurut Hafiz, dia kini hanya menyerahkan jodohnya pada takdir dan masa.

“Nak cari ibu untuk anak? Buat masa sekarang saya hanya penjaganya sahaja selepas dua tahun baru lah sah saya menjadi bapa angkatnya.

“Saya tak nak fikir soal mencari ibu untuk dia kerana saya tak boleh kata bila saya kahwin nanti isteri saya itu ibunya kerana Hamdee masih mempunyai ibu bapa kandung dan saya hormatinya.

“Apa-apa pun ibu untuk Hamdee tak penting tapi isteri buat saya itu penting. Saya hanya just go with the flow,” katanya kepada Gempak.

Hafiz ditemu bual dalam sidang media virtual sempena pelancaran album Marhaba semalam.

Terdahulu, Hafiz telah mengambil Hamdee sebagai anak angkat sejak ia dilahirkan pada tahun lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai album terbaharunya yang bakal dilancarkan apda 29 Januari ini, Hafiz memberitahu ia telah mengambil masa lima tahun sebelum dikeluarkan.

“Ia lama kerana saya mencari kesempurnaan. Sepatutnya saya lancarkan album ini ketika bulan puasa tahun lalu tapi ketika itu kes Covid-19 sedang mencanak.

“Pada mulanya merancang untuk keluar single tapi saya tak mahu kerana ia terlalu istimewa dan saya mahu ia sempurna dalam sebuah album bentuk fizikal.

“Jadi saya terpaksa lancarkan juga ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Saya rasa ia tiada masalah ini lah norma baharu,” katanya lagi.

Marhaba terdiri daripada 13 selawat yang di peringkat antarabangsa seperti Ya Iamam Ar-Rusli, Tholama Ashku Hhoromi dan Tola Al-Badru Alayna.

Sehingga kini album Marhaba telah melewati lebih dari 120.000 strim di Spotify dan terjual lebih dari 3000 salinan walaupun terdapat ketidakpastian industry muzik global kerana pandemik Covid-19.