Laman Utama
Ifa Raziah Tak Pernah ‘Kelentong’ Orang! – “Saya Dah Lali Dengan Umpat & Fitnah Orang…”
Penyanyi dan usahawan Ifa Raziah mengakui pengalaman banyak mengajarnya untuk menjadi seorang yang lebih rasional dan bersabar.
Ifa berkata, pelbagai kontroversi sudah dilalui serta umpat keji menjadikannya ‘kebal’ dan mampu bertahan dalam industri hiburan sehingga kini.
“Lebih 25 tahun dalam industri, saya dah masak dengan sepak terajang dunia seni ini. Apa yang saya tak tempuh?
“Kontroversi, umpat dan keji serta fitnah manusia semua saya dah lalu. Saya pekakkan telinga dan positif sahaja.
“Mungkin disebabkan kesabaran itulah saya ‘Ifa Raziah’ seperti yang anda semua nampak sekarang,” katanya.
Menurut Ifa pengalaman perit yang tidak dapat dilupakan ialah apabila dituduh menipu dan kaki songlap.
“Saya tak pernah kelentong, menipu orang. Apatah lagi ‘makan’ duit orang. Tahun lalu apabila festival anjuran saya tak jadi disebabkan pandemik saya pulangkan balik duit vendor.
“Biarlah saya rugi tak apa…Asalkan reputasi dan maruah saya tidak tercalar. Saya mahu jaga brand festival saya. Sudah menjadi tanggungjawab saya pikul kepercayaan orang lain,” katanya.
Ifa, berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Starvendors Mega Raya Fest 2021 di PWTC pada Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Ifa berkata dia sudah bersiap-siaga dengan sebarang kemungkinan melibatkan prosedur operasi standard (SOP) di festival anjurannya yang bakal berlangsung pada 7 hingga 9 Mei ini.
“Kami sudah mengikut prosedur ditetapkan sebelum dapat kelulusan untuk mengadakan festival Vaksin Raya itu nanti.
“Saya sudah bersiap-sedia untuk mengerahkan ramai kru bagi memantau SOP ketika karnival berlangsung.
“Selain kru, pihak berkuasa seperti polis, bomba dan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan turut berada di lokasi.
“MySejahtera, pengimbas suhu, jumlah pengunjung dan laluan sehala telah ditetapkan pada tahun ini demi mematuhi SOP dan keselamatan kita bersama.
“Setiap yang hadir akan diberikan kupon. Kita tak akan membenarkan terlalu ramai pengunjung pada satu-satu masa,” katanya.
Antara artis-artis yang akan turut terlibat dengan Starvendors tahun ini seperti Erra Fazira, Rozita Che Wan, Awal Ashaari, Scha Al yahya, Nabil Ahmad, Erni Zakri, Syamel, AC Mizal, Zulin Aziz, Zizi kirana, Nana Mahazan, Cik B, Hasmiza Othman atau Vida, Zizi Kirana.
Ditanya berhubung penganjuran karnival yang dilihat tidak bersesuaian kerana risiko peningkatan kes wabak, Ifa, bersedia dikritik.
“Saya tak kisah kalau suara-suara yang mengkritik saya sebab niat saya nak bantu usahawan kecil dan sederhana di luar sana.
“Dapat membantu mereka yang terjejas kerana Covid-19 dan PKP ini pun saya dah rasa lega. Rugi sikit tak apa. Dalam masa sama saya dapat mengekalkan jenama Starvendors,” katanya.
Untuk memeriahkan acara tersebut, pengacara selebriti seperti Ahfad, Watie Elite, Ani Maiyuni, Acong Sweetchild, Mamu Penang, Kelly Azman dan Sham Pujangga akan meraikan kedatangan pengunjung.
Selepas festival ini, Ifa Raziah juga sudah merancang untuk mengadakan Year End Sale, pada 24 dan 25 Disember di lokasi sama.
Must-Watch Video