Hiburan
Ifa Raziah Terima Tawaran Jadi Pengkritik D Academy Asia
Penyanyi dangdut Ifa Raziah menerima tawaran untuk menjadi salah seorang pengkritik program realiti popular Indonesia, D Academy Asia.Program realiti nyanyian lagu dangdut yang bersiaran di stesen Indosiar itu disertai oleh peserta dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Timor Leste.
"Saya menerima panggilan dari pihak Indosiar, Pak Ekin Gabriel. Dia menawarkan saya menjadi salah seorang pengkritik untuk program tersebut yang bakal bersiaran pada Oktober sehingga Januari tahun hadapan.
"Perkenalan saya dengan Pak Ekin bermula semenjak dia menghadirkan diri ke majlis rumah terbuka Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (Bintang) pada Ogos lalu. Pak Ekin hadir bersama komposer terkenal, Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah)," kata Ifa kepada Astro Gempak.
Tambah Ifa, tawaran untuk dirinya menjadi pengkritik adalah hasil cadangan diva dangdut Singapura, Rosalina Musa dan Pak Ngah sendiri.
"Sebelum ini, Rosalina dan Pak Ngah pernah menjadi pengkritik di program yang sama tahun lalu. Saya sangat berterima kasih dengan mereka.
"Saya sangat teruja mendapat tawaran ini dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengkritik, mewakili Bintang dan penyanyi-penyanyi dangdut Malaysia," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran single terbarunya yang berjudul Terus Terang.
Menerusi single terbaru ciptaan DJ Fuzz itu, Ifa berkolaborasi dengan kumpulan rap Lawa Nie Geng.
"Saya melakukan kajian terlebih dahulu berkenaan dengan lagu yang mendapat reaksi positif pendengar muzik semasa. Saya mula mendengar lagu Hantu Atau Buaya dan tertarik untuk tahu siapa penciptanya.
"Selepas meneliti, baru saya tahu DJ merupakan pencipta lagu tersebut. Saya suka dengan lagu-lagu ciptaan DJ Fuzz kerana semuanya menarik catchy dan easy listening," katanya lagi.
Must-Watch Video