Biarpun berdepan masalah kesihatan ketika berada di Jakarta, Indonesia pada Isnin, pelakon dan penyanyi Janna Nick tetap meneruskan kerjanya.

Sebaik saja selesai urusan kerja di negara jiran, Janna terus terbang ke Singapura untuk membuat persembahan nyanyian biarpun doktor menasihatkan agar merehatkan suaranya.

Tiada masa untuk berehat, Janna terus menjalani sesi latihan untuk persembahan di malam Anugerah Industri Muzik (AIM) yang akan berlangsung pada Ahad.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin baik. Ikutkan memang doktor nasihatkan agar saya puasa bercakap. Tapi atas tuntutan kerja, saya tetap kena juga menyanyi.

“Sebab nak memenuhi kehendak jemputan menyanyi. Tak nak orang Singapore kecewa kalau saya tak dapat hiburkan mereka.

“Selesai show di Singapore, saya nak fokus untuk persembahan di AIM. Hari ini saya dah mula sesi latihan untuk AIM,” kata Janna ketika dihubungi Gempak.

Pada Isnin, Janna yang baharu saja tiba di Jakarta terpaksa dikejarkan ke sebuah pusat perubatan selepas alami masalah kesihatan.

Bagaimanapun, pelakon filem Juang itu tidak menyatakan penyakit dan rawatan yang diterima di hospital berkenaan.

Berkongsi lebih lanjut mengenai perkara itu, Janna memberitahu kesihatannya terganggu disebabkan pernah dijangkiti virus Influenze selain kerja tanpa henti.

“Saya alami masalah kesihatan disebabkan pernah dijangkiti virus Influenze dan kerja tanpa henti juga salah satu puncanya.

“Masa di Jakarta saya tak dimasukkan wad, hanya makan ubat steroid saja. Saya minta untuk keluar hospital sebab tak nak ganggu jadual pelakon lain,” ujarnya.