Senarai pasport paling berkuasa di dunia untuk tahun 2024 diterbitkan dan buat kali pertama, enam negara berkongsi tempat pertama dalam ranking berkenaan, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

BERITA TRENDING: Letak Pasport Dalam Bagasi, Risteena Cemas Beg Tak Muncul-Muncul Setibanya Di Lapangan…

Menurut senarai Indeks Pasport Henley yang berpangkalan di London, enam pasport itu termasuk Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Jepun dan Singapura.

Rakyat negara-negara tersebut boleh melawat 194 destinasi daripada 227 negara di seluruh dunia tanpa menggunakan visa.

Tiga negara berkongsi tempat kedua iaitu Finland, Korea Selatan dan Sweden.

Austria, Denmark, Ireland dan Belanda pula berkongsi tangga ketiga.

Tempat keempat pula dikongsi oleh Belgium, Luxembourg, Norway, Portugal dan United Kingdom (UK).

Australia masih mengekalkan kedudukannya di tempat keenam dengan akses bebas visa ke 189 buah negara.

Amerika Syarikat (AS) berada di tempat ketujuh dengan akses 188 buah negara tanpa visa tetapi masih jauh dari kedudukannya pada 2014 apabila AS menduduki tangga pertama bersama UK.

Sementara itu, Malaysia menduduki tempat ke-12 dan berkongsi kedudukan bersama Cyprus serta Liechtenstein.

Berada di tangga terakhir ialah Afghanistan pada kedudukan ke-104 diikuti Syria (103), Iraq (102) dan Pakistan (101).

PILIHAN PEMBACA: “Kami Belajar Di Singapura Sejak Kecil” - Wanita Ini Rasa 'Dihina' Kerana Diminta Cakap Melayu Ketika…

Pengerusi Henley & Partners dan pencipta konsep indeks pasport, Dr Christian Kaelin berkata, jurang mobiliti global antara negara-negara teratas dan tercorot indeks berkenaan menjadi lebih luas berbanding sebelum ini.

“Purata bilangan destinasi pelancongan yang boleh diakses tanpa visa telah meningkat hampir dua kali ganda daripada 58 (destinasi) pada 2006 kepada 111 pada 2024.

“Bagaimanapun, apabila kita memasuki tahun baharu, negara-negara teratas kini boleh melancong ke lebih 166 destinasi bebas visa,” katanya. – AGENSI

Foto: FreeMalaysiaToday