Hiburan
“Ini Pertama Kali Saya Berlakon Filem CGI” – Zahiril Adzim Akui Kurang Pengalaman
Pelakon Zahiril Adzim mengakui berdepan cabaran apabila melakonkan filem yang menggunakan teknik CGI.
Menurut Zahiril atau nama sebenarnya Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 35, ada banyak aspek teknikal yang berbeza dari filem-filem lakonannya sebelum ini yang membuatkan dirinya terasa seperti ‘budak baru’.
“Saya membawakan watak Sham, seorang ahli arkeologi yang turut mengikuti ekspedisi bunga emas bersama Profesor Daud.
“Filem ini mengandungi 40 peratus babak CGI jadi saya tak tahu apa yang berlaku di sekeliling saya sewaktu penggambaran.
“Saya tak pernah berlakon filem CGI. Ada banyak benda yang saya tak nampak. Semuanya bergantung pada kata-kata pengarah dan imaginasi saya.
“Itulah yang saya simpan dalam kepala sebab pengarah sorang je yang boleh bayangkan apa dia nak ada dalam babak tersebut,” katanya kepada Gempak.
Zahiril ditemui selepas majlis tayangan media bersama barisan pelakon filem Kron yang bertempat di E@Curve pada Khamis.
Filem Kron menjalani penggambaran pada akhir tahun 2016 tetapi ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana perlu menggunakan teknik CGI yang teliti.
“Saya puji Opie, usaha dia untuk menjayakan filem ni memang tinggi. Tak ramai pengarah nak hasilkan karya yang bergenre fiksyen dan menggunakan teknik-teknik CGI seperti ini.
“Teknik filem CGI di Hollywood dah sampai ke langit dan saya rasa CGI di Malaysia masih boleh diperbaiki.
“Kalau Hollywood ada filem bercorak penggembaraan seperti Jumanji dan Night at The Museum, jadi kita perlu ada satu filem tempatan bercorak sebegitu untuk para generasi muda sekarang,” tegasnya menutup bicara.
Selain Zahiril, Kron turut dibintangi oleh pelakon Aman Graseka, Dayana Roza, Opie Zami dan Mamak Puteh.
Must-Watch Video