Sedang rakyat Malaysia ‘bertekak’ mengenai pakaian rasmi atlet Olimpik 2024, warga Paris, Perancis sedang galak memboikot sukan tersebut secara terbuka.
Hal tersebut dapat dilihat menerusi ugutan buang air besar dalam Sungai Seine yang dibuat oleh warga Paris sebagai tanda kecewa dengan Datuk Bandar, Anne Hidalgo.
Menerusi laporan Sky News, protes tersebut berlaku selepas Anne Hidalgo melaburkan wang yang banyak dalam operasi pembersihan sungai berkenaan sehingga mengabaikan dana bagi masyarakat.
Lebih €1.4 juta euro (RM7.05 juta) telah dibelanjakan untuk menjadikan Sungai Seine bersih dan selamat untuk orang ramai berenang.
Sungai tersebut juga akan menjadi lokasi acara triatlon dan renang terbuka semasa sukan Olimpik yang dijadualkan bermula lewat bulan depan.
Selain itu, Anne Hidalgo juga difahamkan akan berenang di dalam Sungai Seine hari ini untuk membuktikan air sungai itu cukup bersih buat atlet sukan Olimpik.
Namun, katanya, beliau hanya akan berenang di sungai itu selepas pilihan raya Perancis selesai pada Julai ini.
Pada masa sama, Presiden Emmanuel Macron juga berjanji untuk berenang di dalam Sungai Seine menjelang sukan Olimpik tetapi tidak menyatakan bila.
Begitupun, menerusi laporan terkini media, air sungai itu masih terlalu kotor untuk digunakan.
“Sampel air menunjukkan kadar tinggi dua jenis bakteria berbahaya termasuk E.coli dan tidak memenuhi piawaian ditetapkan untuk Sukan Oimpik,” kata pengawas wilayah Paris, Marc Guillaume.
Upacara pembukaan Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung di Sungai Seine pada 26 Julai ini.
Sumber: Kosmo! Online dan Sky News