Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang bakal menerima anugerah ‘Point of Light’ dari Ratu Elizabeth II atas sumbangannya dalam melakukan kerja-kerja amal dan kebajikan kepada masyarakat.

Berita gembira itu telah dikongsikan sendiri oleh Uncle Kentang menerusi akaun rasmi Facebook miliknya baru-baru ini.

Menurut Uncle Kentang, dia berasa terkejut dan berbesar hati apabila menerima makluman berhubung anugerah tersebut menerusi kiriman e-mel.

Tambah Uncle Kentang lagi, penghargaan itu merupakan sesuatu yang amat bermakna buat dirinya selain mendedikasikan anugerah itu kepada semua rakyat Malaysia yang menghulur sumbangan dan sokongan bagi menjayakan misi bantuan yang dilancarkannya.

“Ini benar-benar merupakan satu penghormata bagi kita semua atas cara kita membantu golongan yang memerlukan.

“Jadi saya ingin berkongsi penghargaan ini dengan anda semua rakyat Malaysia yang telah banyak memberikan sokongan dan mendorong membantu pihak memerlukan untuk mendapat kehidupan yang lebih baik,” coretnya.

Untuk info, ‘Point of Light’ merupakan anugerah yang dikurniakan kepada individu dari negara anggota Komanwel sebagai tanda pengiktirafan kerja sukarelawan insan yang membuat perubahan dalam komuniti mereka.

Uncle Kentang merupakan rakyat Malaysia keempat menerima anugerah tersebut dengan antara penerima terdahulu ialah doktor patung beruang, Dr. Madhusudhan Shanmugam dan penyelidik tuntung, Dr. Chen Pelf Nyok.