Hiburan
"Isteri Ada Password Media Sosial Saya" - Cara Shuk Sahar Elak DM Peminat Wanita
Pelawak Shuk Sahar mengakui pernah berselisih faham dengan isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah gara-gara mengambil gambar dalam jarak yang terlalu dekat bersama peminat wanita.
Jelas Shuk, situasi itu bagaimanapun tidak melarat hingga membawa kepada pertengkaran dan telah diselesaikan dengan cara baik.
"Setiap artis ada dugaan berbeza-beza, saya tidaklah sekacak Syafiq Kyle atau Izzue Islam untuk orang terkejar-kejar. Saya biasa-biasa saja.
"Saya buat kerja macam biasa, lagipun orang tahu saya sudah beristeri dan punyai anak.
"Sebenarnya ujian itu bergantung pada diri sendiri, kalau nak buat ia akan terjadi.
"Setakat ini tiada yang serius pun kalau membabitkan hubungan saya dan peminat wanita, isteri saya pun sangat memahami.
"Cuma pernahlah dia cemburu apabila ada peminat wanita bergambar dengan saya terlalu rapat. Padahal saya pun tak sedar," katanya ketika ditemui pada sesi taklimat media sitkom Pop Yeah Yeah di NSTP Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kata Shuk tidak akan timbul sebarang isu membabitkan kiriman mesej tertentu daripada peminat wanita memandangkan isteri saya sendiri tahu kata laluan media sosial saya misalnya Instagram.
"Isteri saya tahu kata laluan Instagram saya jadi saya boleh mengelakkan kiriman mesej peminat tak kira yang elok atau tidak.
"Kami suami isteri tidak sembunyikan apa-apa pun," tambahnya.
Shuk mendirikan rumah tangga bersama Rossalennah pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.
Sitkom Pop Yeah Yeah membariskan pelakon popular seperti Datuk AC Mizal, Izzue Islam, Ammar Titan, Emelda Rosmila, Shuk Sahar dan Oktovia Manrose dan sudah mula bersiaran setiap Sabtu pukul 9 malam di TV3.
Must-Watch Video