Isteri Didakwa Berbadan Dua? Ini Respons Syamel - “Kalau Ada Rezeki..”
Penyanyi Syamel tampil menjawab dakwaan yang bertebaran di media sosial mengenai isterinya, Ernie Zakri kini sedang berbadan dua.
Syamel atau pemilik nama sebenar Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 31, bagaimanapun memilih untuk menidakkan dan mengiyakan tentang perkhabaran tersebut.
“Kalau ada rezeki untuk tambah anak kedua ke apa kami tak pernah menidakkan tak pernah menolak cuma buat masa sekarang ini saya gembira, Ernie pun gembira melihat saya bekerja, saya pun gembira melihat Ernie bekerja," katanya ketika ditemui Gempak di majlis pelancaran single terbaharunya, Hamba Cinta.
Masih mahu fokus bekerja
Sementara itu, Syamel turut memaklumkan dia dan keluarga masih selesa untuk fokus bekerja.
“Sebelum Ernie berehat untuk 9 bulan itu, Syamel gembira melihat dia bekerja jadi biarlah kami bekerja dan Khawla pun sedang bekerja jadi kami sedang gembira untuk bekerja.
“Jadi kami tidak menidakkan perkata itu cuma buat waktu sekarang ini kami lebih selesa begini. Ernie pun sedang sibuk dengan workout dia tidak mahu la membunuh semangat dia. Tetapi kami tidak menidakkan kalau ada rezeki Allah SWT," tambahnya lagi.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila ada netizen mendakwa pelantun lagu Masing-Masing itu sedang hamil.
Lebih menguatkan lagi apabila Syamel hadir ke satu temubual di stesen radio dan bercakap tentang perkara tersebut dengan nada bergurau.