Isteri kepada pelakon Fadlan Hazim, Aiya Mukhamedsalova tampil menjelaskan punca ketiadaan keluarganya ketika majlis pernikahan pasangan itu pada Ahad.

BACA: Fadlan Hazim Selamat Bergelar Suami Kepada Wanita Kazakhtan, Aiya Mukhamedsalova

Jelas Aiya, keluarganya tidak dapat hadir ke Malaysia disebabkan faktor kesihatan ibunya namun akan datang pada majlis resepsi kelak.

"Lebih elok saya jelaskan di sini! Keluarga saya tiada di sini (Malaysia) disebabkan keadaan kesihatan ibu saya yang tak mengizinkan.

"Jangan buat sebarang andaian, mereka akan datang ke sini untuk majlis resepsi," tulisnya menerusi hantaran di Instagram Stories.

Dalam pada itu, tambah Aiya lagi, sukar baginya meneruskan majlis tanpa kehadiran keluarga dan lebih menyakitkan apabila ada pihak yang sewenang-wenangnya membuat andaian.

"Adalah sukar untuk (saya) berkahwin di negara luar tanpa ada keluarga bersama-sama sekali, tolonglah berbaik sangka.

"Ya, saya dari Kazakhstan dan saya takkan lupa asal usul saya. Saya juga bangga," tulisnya.

Fadlan dan Aiya telah selamat disatukan sebagai pasangan suami isteri di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada pagi Ahad.

Fadlan menyerahkan sebentuk cincin dan lima dulang hantaran buat Aiya manakala pasangan itu merahsiakan jumlah wang hantaran.

Pasangan itu telah mengikat tali pertunangan pada 1 Oktober 2022 dan majlis resepsi dijadualkan berlangsung pada Oktober 2023.