Pelakon Nazrief Nazri, 30, terpaksa ditahan di sebuah pusat perubatan di Puchong, Selangor selepas diserang sakit perut yang berpanjangan pada malam Khamis.

Menurut Nazrief atau nama sebenarnya Mohamad Nazrief Mohamad Nazri berkata doktor mengesahkan dia menghidap penyakit apendiks dan perlu menjalani pembedahan segera.

"Saya mula rasa sakit sewaktu di pejabat dalam pukul 5 petang semalam. Saya fikir saya ada tersalah makanan.

"Tapi bila sampai dekat rumah, saya dah tak tahan..dah terbaring. Saya terus ajak isteri pergi klinik. Doktor bagi injection dan dia cakap mungkin keracunan makanan.

"Lepas saya balik rumah rasa sakit tu tetap ada. Saya buat keputusan untuk call ambulan dalam pukul 11.30 malam. Isteri saya kan tengah sarat..dia tak boleh nak tolong drive.

"Bila sampai sana, doktor cakap apendiks saya dah bengkak..tapi alhamdulillah tak pecah lagi. Tapi tetap kena buat pembedahan, pukul 3 tadi," katanya ketika dihubungi Gempak.

Dalam pada itu, pelakon drama Makmum Yang Paling Aku Cinta ini berasa bimbang apabila terpaksa meninggalkan isterinya, Aizatul Akma, 27, yang sedang sarat hamil berseorangan di rumah.

"Saya tak risau dengan diri sendiri sebab tahu pembedahan ni cuma minor. Yang rasa ralat sebab selama ini tak pernah sakit, tak pernah masuk hospital, tiba-tiba masa ini pula benda nak jadi. Dugaan betul.

"Paling risau isteri saya. Sebab dia dah nak bersalin, usia kandungan dia dah masuk 36 minggu.

"Saya sekarang dekat hospital pula, kalau dia nak deliver saya tak ada kat rumah, risau la..Harapnya biar la saya sihat dulu baru isteri saya bersalin," katanya lagi.

Terdahulu, Nazrief dan Aizatul Akma mendirikan rumah tangga pada 15 November 2019 di The Seavoy House, Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Isteri Nazrief dijangka melahirkan cahaya sulung mereka pada 22 Julai ini.