Pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memaklumkan isu cetak rompak seperti di plaftorm media sosial dan e-dagang pada masa kini masih dalam siasatan pihak berkuasa dan tindakan undang-undang akan diambil dengan tegas.

Perkara tersebut merupakan salah satu keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak Bil. 1/2020 yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Menerusi sebuah kenyataan media bertarikh 8 September, FINAS mengambil maklum mengenai keresahan penggiat industri apabila filem yang ditayangkan dicetak rompak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, FINAS memandang serius mengenai perihal cetak rompak yang semakin berlelulasa dalam bentuk fizikal, platform-platform media sosial seperti Telegram, laman sesawang dan setup box.

FINAS juga akan memperkasa dan memantapkan penguatkuasaan lesen pengedaran bagi memantau sumber pengedaran cetak rompak dan memperkasa Lesen Pengedaran Filem, melalui Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) di bawah Seksyen 22 (1).

BACA: FINAS Kecewa Platform E-Dagang Jual Filem Cetak Rompak, 'Keluarga Iskandar' Antara Mangsanya

BACA: Syak Angkara 'Orang Dalam', Penerbit Filem AADD Teruskan Saman Platform E-Dagang RM50 Juta

BACA: Pengarah Keluarga Iskandar The Movie Terkilan Filemnya Dicetak Rompak!


Sebelum ini, penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD), Datuk Ayu Puteh akan memfailkan saman terhadap sebuah platform e-dagang yang menjual filem tersebut secara dalam talian dengan harga serendah RM1.

Selain itu, penerbit eksekutif dan pengarah filem Keluarga Iskandar The Movie, Wan Hasliza Wan Zainuddin turut kesal apabila filem arahannya itu dijual secara haram di platform e-dagang.