Tular di media sosial baru-baru ini mengenai seorang guru wanita sekolah menengah kebangsaan (SMK) didakwa menjalin hubungan cinta bersama pelajar lelaki yang berumur 17 tahun.

Bagaimanapun, dapat dilihat hubungan tersebut ditentang oleh keluarga pelajar lelaki tersebut apabila kakak pelajar lelaki itu bertindak memuat naik hantaran mendedahkan hubungan terlarang itu.

Sebelum ini Gempak pernah melaporkan kes ini sedang berada di dalam siasatan kes polis.

Terima Laporan Sejak Disember

Terbaharu, menerusi laporan oleh Sinar Harian pihak polis telah mendedahkan mereka telah menerima laporan daripada ibu pelajar tersebut sejak Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita berusia 46 tahun pada jam 10.30 malam, 12 Disember lalu.

"Wanita itu mendakwa terdapat kesan kemerahan pada leher anaknya yang pada ketika itu berusia 16 tahun, kejadian tersebut dikatakan berlaku selepas mangsa balik dari ulang kaji pelajaran bersama guru matematik," katanya kepada Sinar Harian dalam kenyataan pada Ahad.

Pelajar Dakwa Telah Dipeluk Dan Dicium Cikgu

Wan Kamarul berkata, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang mendapati kejadian berlaku pada jam 4.50 petang, 12 Disember lalu.

"Mangsa yang sepatutnya balik ke rumah masih bersama guru matematiknya di perpustakaan.

"Pelajar itu mendakwa telah dipeluk dan dicium oleh guru matematik berusia 37 tahun itu hingga meninggalkan kesan kemerahan pada lehernya," katanya.

Beliau berkata, mangsa telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan ke atas kesan kemerahan yang terdapat pada lehernya.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta kesalahan Seksual Terhadap kanak Kanak 2017.

"Kita sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan

lanjut," katanya.

Polis Sahkan Hantaran Viral ltu Adalah Benar

Mengulas lanjut, Wan Kamarul mengesahkan hantaran di media sosial berkenaan salah laku seksual oleh seorang guru wanita ke atas pelajar lelaki adalah benar.

"Orang awam dinasihatkan tidak menimbulkan spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak benar berkenaan kejadian itu," katanya.

Sekadar info, difahamkan guru tersebut sudah mempunyai suami dan merupakan ibu kepada 5 orang anak.

Sebelum ini, walaupun pihak keluarga sudah membuat laporan Polis dan aduan kepada PPD, guru tersebut dipercayai tetap mendekati pelajar lelaki itu meskipun sudah dipindahkan ke sekolah lain.

Sumber: Sinar Harian