Penyanyi Sufian Suhaimi mengakui babak menaiki helikopter dalam muzik video terbaharu, Mencuba tidak menceritakan tentang kisah cinta lamanya.

Menurut Sufian, babak tersebut adalah secara kebetulan apabila ada pihak yang memberi tajaan pesawat persendirian untuk muzik video tersebut.

“Sejujurnya saya risau untuk menjayakan babak ini kerana pada awalnya ia tidak ada dalam perancangan.

“Namun, kami telah mendapat tajaan daripada sebuah syarikat penerbangan persendirian untuk menjayakan babak tersebut.

“Saya rasa babak tersebut sesuai dengan jalan cerita lagu ini jadi apa salahnya untuk kami menerima tajaan tersebut.

“Bagi saya babak tersebut sekadar kebetulan dan tiada kena mengena dengan kisah cinta terdahulu,” katanya kepada Gempak.

Sufian berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media konsert Trio di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Sebelum ini, kecoh apabila muncul pelbagai pendapat mengenai relevannya babak dalam helikopter dalam muzik video berkenaan.

Seperti mana umum tahu, bekas tunangnya yang telah selamat mendirikan rumah tangga awal tahun ini, pernah membuat kejutan menaiki helikopter sempena hari jadi Sufian ke-25 sekitar dua tahun lalu.

Ada antaranya menyifatkan Sufian cuba menyindir kisah cintanya terdahulu dan ada juga yang mengandaikan penyanyi itu masih belum move on.

Baru tiga hari dimuat naik ke laman YouTube, video muzik ciptaan dan nyanyian Sufian berjudul Mencuba sudah mencecah 1 juta tontonan.

Selain ditonton 1 juta kali, muzik video tersebut turut menjadi trending di YouTube dan berada di tangga kedua dan ketiga.