Pelawak Shuib Sepahtu mengakui berasa kecewa dan sedih apabila melihat isu tentang lawak berbaur penghinaan agama serta dan bangsa semakin merebak dan hangat diperkatakan oleh netizen.

Shuib berkata, kekecohan yang berlaku sedikit sebanyak mengingatkan padanya kisah lama sewaktu mula-mula menapak sebagai pelawak suatu ketika dahulu.

Katanya, dia pernah melalui liku-liku survival dan betapa sukarnya untuk mencari rezeki dalam bidang yang masih ‘baharu’ dalam industri seni hiburan ketika itu.

“Sedih sebenarnya sebab saya dilahirkan daripada program komedi. Saya tahu betapa struggle komedian untuk meneruskan hidup, mecari rezeki. Dulu, bidang komedi ini tidaklah diangkat sangat… sehinggalah Saiful Apek berjaya meraih Anugerah Bintang Popular dan terus mengangkat bidak komedi ini ke tempat yang sepatutnya.

“Bila isu ini terjadi, ia secara tidak langsung mengganggu gugat rezeki para stand up comedian yang lain… yang baru sahaja dan bermula semula selepas COVID-19 dilihat sedikit reda. Sudah tentu pelawak-pelawak yang lain turut terpalit dengan isu ini dan ia menimbulkan perasaan yang tidak enak dalam diri,” katanya kepada Gempak.

Shuib mengulas mengenai isu seorang wanita yang melucutkan pakaian di hadapan penonton ketika melakukan sesi open mic di sebuah kelab lawak di ibu kota baru-baru ini.

BACA: Pasangan Hina Islam Diikat Jamin RM40,000, Tapi Dicekup Semula Jawi Tak Sampai Sehari

BACA: Pengasas Bersama Kelab Komedi Crackhouse Ditahan Polis

Selain itu, Shuib turut memahami yang stand up comedy yang sering dilakukan di kelab-kelab komedi atau pentas terbuka tidak sama dengan pentas Raja Lawak atau Maharaja Lawak Mega yang pernah disertainya.

“Betul, televisyen itu komersial dan banyak benda yang tidak boleh disebut. Bila kita lihat stand up comedian secara langsung pula, memang isu-isu sebegini yang menjadi bahan utama lawak mereka.

“Kita tengok luar negara banyak seperti itu… mereka bermain dengan agama, bangsa dan pemimpin negara juga menjadi bahan lawak. Jadi, saya tak berapa yakin Malaysia boleh masuk dengan budaya seperti itu sebab Malaysia ini lain sangat.

“Jika kita biarkan lawak-lawak sebegini berterusan, saya risau ia akan menjadi kebiasaan pada masa akan datang. Nanti esok lusa, kita boleh buat lawak tentang agama orang dan sebaliknya. Kita nak macam tu ke?,” tutur Shuib.

Shuib yang bergelar Juara Raja Lawak musim ketiga bersama kumpulan Sepah menambah, dia kini berasa takut untuk melawak, bimbang jika ada lawaknya yang boleh menyentuh sensitiviti orang lain.

“Benar, saya takut nak buat lawak… dan susah tentu, ruang untuk melawak akan menjadi makin sempit. Dulu isu body shaming, kita faham dan terima untui tidak melawak tentang rupa bentuk tubuh orang. Kemudian, benda yang saya dan kumpulan saya sendiri buat iaitu lawak double meaning. Apabila ditegur, kami pun sedar yang benda tu tak baik terutama untuk budak-budak.

“Terbaharu isu agama dan bangsa juga. Tapi sebenarnya, kalau kita bijak dan kreatif, walau macam mana sempit pun skop melawak itu, kita mampu cari subjek yang sesuai untuk dilawakkan,” tutup Shuib.