Pelakon Ruhainies, 29, berpendapat agar orang awam juga diberi kebenaran untuk merakam ketika disuntik vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurut Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata tidak sepatutnya hanya golongan selebriti dan personaliti media sosial yang mendapat keistimewaan.

"Tolonglah biar orang awam juga rakam proses pengambilan vaksin. Janganlah benarkan hanya untuk artis atau influencer sahaja.

"Mereka pun ada hak untuk tahu apa yang masuk dalam badan diorang.

"Sekarang ni siapa pun kita dah tak boleh percaya. Ni isu serius, tak boleh ambil ringan. Ya Allah," tulisnya di laman Twitter miliknya pada Selasa.



Sebelum ini, tular di media sosial apabila beberapa orang awam membuat pendedahan yang mendakwa mereka menerima suntikan kosong daripada petugas di PPV.

Antara kes dilaporkan termasuk kejadian pada Sabtu lalu di PPV pandu lalu Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah, di mana PPV itu dikhaskan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga mereka sahaja.

Vaksinasi di PPV itu dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem itu.

Selain itu, berlakunya kes di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), yang didakwa berlaku pada Sabtu juga, menyebabkan orang awam terbabit sudah membuat laporan polis.

Di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC), dakwaan mengenai suntikan palsu ini dibuat pada Ahad dan laporan polis dibuat penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO).

Dalam pada itu, pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta menegaskan insiden petugas kesihatan memberi suntikan kosong pada penerima tidak boleh dipandang remeh.

Katanya, itu adalah isu serius kerana telah melibatkan nyawa orang teraniaya yang tertipu.

"Benda ini bukan benda remeh. Ini adalah isu serius! Ni melibatkan nyawa.. Ya Allah.

"Semoga Allah bagi pembalasan yang setimpal. Jenuh la nak cari depa ni dekat akhirat nanti. Tanggung lah. Kat dunia mungkin boleh terlepas," tulisnya lagi.



Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dilaporkan memandang berat dakwaan berkenaan termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM bagi menjalankan siasatan terhadap kejadian itu.

Berdasarkan laporan terkini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyatakan mana-mana individu yang terbukti diberikan suntikan vaksin 'picagari kosong' akan menerima suntikan dos baharu.


Twitter: @NurRuhainies
Sumber: BH Online