Pemeriksaan sempena perayaan Aidilfitri kini tidak hanya tertumpu di sekatan jalan raya semata-mata.

Ini kerana polis akan turut memantau ‘posting’ atau hantaran masyarakat dalam media sosial seperti Facebook.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Muhammad Mat Yusop berkata meskipun jalan raya beberapa hari ini lengang dan kenderaan masuk ke negeri itu juga kurang, pemantauan serta pemeriksaan menyeluruh tetap dilakukan lebih 160 anggota polis di sini.

“Selepas solat sunat Aidilfitri mungkin masyarakat akan kunjung-mengunjung, jadi hari ini pasukan pemantau ditambah untuk melakukan pemeriksaan di sekitar taman-taman perumahan dan sempadan daerah di negeri ini.

“Kalau pasukan menerima ‘posting’ gambar-gambar tertentu yang menunjukkan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) tindakan akan diambil,” katanya.

Muhammad juga berkata hasil pemantauan di beberapa masjid utama di negeri ini, pihaknya mendapati pematuhan SOP dilaksanakan dengan baik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata pemeriksaan rumah ke rumah pada hari raya hari ini mendapati kawasan perumahan di Nilai Impian tiada sebarang aktiviti yang melanggar SOP.

Terdahulu, Polis Kedah akan memeriksa rumah yang didapati mempunyai jumlah kasut dan selipar yang banyak untuk mengesan individu yang tidak mematuhi larangan rentas negeri pada sambutan Aidilfitri nanti.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya mengerah anggotanya melakukan rondaan sepanjang sambutan perayaan itu di seluruh negeri ini.

BACA : Bukan Kereta Jer... Rumah Banyak Selipar & Kasut Akan Dilawati Polis Pada Aidilfitri Nanti

Sumber : Bernama