Kumpulan Estranged mendedahkan memilih negeri Sabah sebagai destinasi untuk menjalankan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jelajah Misi Elektrik Borneo.

Menurut Estranged, setiap kawasan pedalaman yang dilawati di Sabah sudah hampir lengkap kemudahannya, hanya bekalan elektrik sahaja yang tiada.

"Jelajah kami bermula pada hujung tahun 2017 dan sasaran kami untuk membantu sebuah kampung setiap tahun.

"Kami memilih negeri Sabah adalah disebabkan Estranged mempunyai kemudahan logistik di sana.

"Dari segi kemampuan, agak senang untuk kami sediakan dan Sabah memang memerlukan mini hidroelektrik.

"Setiap kampung yang dilawati itu sudah hampir lengkap dengan mempunyai kemudahan sekolah dan klinik cuma bekalan elektrik sahaja tidak ada.

"Setakat ini sebanyak dua buah kampung di Ranau sudah mendapat kemudahan hidroelektrik," katanya kepada Gempak.

Estranged ditemui ketika majlis pelancaran single terbaharu duet bersama penyanyi dangdut Indonesia, Jenita Janet di Drum Asia Studio, Kota Damansara semalam.

Tambah kumpulan yang dikenali dengan lagu 'Itu Kamu' ini, penduduk kampung di sana hanya menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

"Kalau tiada hidroelektrik, mereka hanya menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

"Kos untuk membeli generator agak mahal serta memerlukan mereka keluar ke pekan untuk mendapatkannya.

"Malah, ada segelintir orang yang mengambil kesempatan dengan menjual minyak dengan harga yang tinggi," katanya lagi.