Berita
"Jangan Beli Motor Dik, Kalau Kemalangan...Mati Katak" - Farahdhiya Pegang Kata-Kata Arwah Ayah, Bimbang Mulut Masin?
Pelakon Farahdhiya mengakui dirinya cukup meminati aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Begitupun, katanya, minat tersebut terpaksa dipendam sahaja berikutan tidak mendapat kebenaran daripada arwah bapanya, Mohd. Amin Zubir.
"Saya memang minat menunggang motosikal. Nak sangat merasa naik motosikal besar. Pernah dulu saya nak beli motor, tapi arwah ayah tak benarkan.
"Katanya, jangan beli motor dik, kalau kemalangan, mati katak. Benda itu menakutkan sayalah, sebab orang tua yang berkata-kata kan. Jadi, kalau orang tua melarang, saya memang tidak akan buat," katanya kepada Gempak.
Farahdhiya berkongsi hal tersebut ketika bercerita mengenai kebimbangannya perihal insiden mulut masin yang sering diperkatakan dalam masyarakat.
"Sampai sekarang, walaupun arwah ayah dah tak ada, saya tak berani nak beli. Katanya, anak perempuan seorang sahaja, bimbang kalau apa-apa berlaku.
"Tak apalah saya naik basikal sahaja," katanya yang kini muncul menerusi filem Mulut Masin.
Bercakap mengenai filem arahan Razaisyam Rashid itu, kata Farahdhiya, nakshah tersebut sememangnya sarat dengan mesej kepada penonton.
"Ini merupakan sebuah filem yang bagus untuk tontonan keluarga. Ada pelbagai pengajaran yang kita boleh ambil. Terutamanya hal berkaitan menjaga percakapan dan mendengar cakap orang tua," katanya.
Mulut Masin menceritakan lima sepupu yang merasakan diri mereka disumpah dengan sumpahan mulut masin arwah nenek kerana menghilangkan surat wasiat neneknya.
Filem terbitan Astro Shaw itu turut menampilkan Jay Nazif, Danish Hazriq, Muzayyin Mahyuddin, Cassia Iman, Lan Pet Pet, Datin Maria Farida, Aloy Paradoks, Khatijah Tan, As'ad Motawh dan ramai lagi.
Jadi, bagi anda yang belum menontonnya, jangan lupa saksikan Mulut Masin di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 hari ini.
Setiap langganan RM15, penonton berpeluang menonton nakshah tersebut berulang kali dalam tempoh 48 jam.
Must-Watch Video