Kecoh di media apabila beberapa pelajar Sekolah Kebangsaan Sibuga Besar terpaksa menggunakan jambatan gantung yang sudah usang dan tidak dibaiki pada hari pertama sesi persekolahan, Isnin lalu.

Gambar yang dimuat naik menerusi platform Twitter Bernama itu mula tular apabila kebanyakan netizen seakan tidak percaya apa yang mereka saksikan.

Susulan itu, ramai yang 'naik hantu' apabila di saat dunia sudah memasuki tahun 2022, masih ada murid yang terpaksa merisikokan diri demi ke sekolah.

Malah, ada juga yang membandingkan kos jambatan dengan nilai penyelenggaran bangunan golongan-golongan VVIP.

"Ini bukan Demi Menuntut Ilmu, ini namanya MP TAK BUAT KERJA. Jangan normalkan amalan buruk bertunggangkan pelajaran atau agama. Ini salah dan selamanya salah. Kita bukan tahun 1970, ini 2022".

"Kanak-kanak sekolah terpaksa melalui jambatan gantung yang usang kerana wakil rakyat tak jalankan tanggungjawab dengan baik. Kebajikan penduduk terabai".

"Jangan pernah lupa kes pelajar jatuh jambatan semasa cari coverage internet pada bulan November," tulis beberapa netizen.

Rentetan daripada isu tersebut Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tampil memberi respon mengenai jambatan tersebut.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan di Facebook, KPLB mengambil perhatian serius mengenai masalah jambatan gantung di Kampung Nelayan, Sandakan, Sabah yang membahayakan pelajar berulang alik ke Sekolah Kebangsaan Sibuga Besar.

"Pejabat KPLB Negeri Sabah telah turun ke lapangan membuat siasatan dan laporan terperinci termasuk kos untuk pelaksanaan akan segera dikemukakan.

"KPLB komited memastikan projek ini dilaksanakan dengan segera demi manfaat masyarakat setempat.

"Langkah awal pelaksanaan dijangka bermula minggu ketiga Januari," kata pengendali akaun tersebut.

Sekadar info, pada November 2020, tiga pelajar cedera selepas terjatuh ketika menyusuri jambatan gantung untuk mendapatkan rangkaian internet bagi mengikuti kelas dalam talian di Kampung Gusi, Ranau.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, ketiga-tiga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut itu dikatakan bersama lima lagi remaja lain lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sumber Gambar : Bernama