Hiburan
"Janganlah Bila Tak Boleh..." - Kesal Dengan Sikap Degil Orang Ramai, Jep Sepahtu Suruh Buat Jadual Harian
Pelawak dan penyampai radio Sinar, Jep Sepahtu meluahkan rasa kesal terhadap segelintir masyarakat yang tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang bermula 18 Mac.
Kata Jep, pelbagai aktiviti boleh dilakukan bagi mengelakkan rasa bosan timbul.
"Kita tak kerja inilah masanya kat rumah. Janganlah bila tak boleh keluar kelam kabut. Kerajaan dah keluarkan arahan, tak takut lagi ke?
"Dah cakap benda ni serius. Bila orang rumah cakap jangan keluar rumah pun dah takut, ini kerajaan bagi arahan tak nak ikut. Degil sangat dah kenapa?
"Buatlah aktiviti, duduk ja rumah tak buat apa. Makan tidur makan tidur memang la bosan," katanya.
Dalam pada itu, suami kepada aktres Sari Yanti menyatakan seharusnya ada jadual yang dilakukan bagi memudahkan kegiatan harian.
"Tengok saya. Siram pokok, pokok pun nak mandi nak minum. Sekurangnya kita berbakti kepada tanah, ada juga hasilnya. Sendiri kena atur jadual, apa yang perlu dilakukan.
"Bukan selalu dapat duduk rumah. Bila dah dapat, gunalah masa sebaik mungkin. Apalah..
"Selain siram pokok, siram anak sekali. Pandai-pandai la korang urus masa," katanya lagi.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Instagram (IG), Jep kelihatan sedang menyiram pokok sambil menemani anak-anaknya yang sedang mandi-manda.
Jep dan Sari telah berkahwin pada 25 Februari 2017.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Dariya Inara pada 25 April tahun lalu.
Kini, Sari sedang hamil anak kedua.
Manakala pada perkahwinan sebelum ini, Sari mempunyai dua cahaya mata lelaki iaitu Barr Al Aliy dan Baasit Al Haq.
Sekadar info, Malaysia terpaksa akur selepas kes COVID-19 kini mencecah 1306 orang dengan 11 rekod kematian.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1157 orang sedang dirawat di hospital, manakala 139 orang telah pun pulih.
Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video