HIBURAN
“Dia Tidak Mengaku Malah Angkat Sumpah Laknat” - Isteri Dedah Edika Yusof Pernah Lafaz Cerai, Anak Anggap Pisah Jalan Terbaik
Isteri kepada pelakon Edika Yusof, Nor Hidayah Yusri mendedahkan suaminya pernah melafazkan talak terhadapnya beberapa kali sebelum ini.
Kata Hidayah, lafaz cerai tersebut juga sudah dirujuk ke mahkamah namun, aktor yang berusia 58 tahun itu tidak mengaku malah sanggup bersumpah dirinya bertindak sedemikian.
Oleh disebabkan itu, Hidayah nekad mengambil keputusan untuk meneruskan dengan permohonan cerai.
“Memang saya buat permohonan cerai tetapi ini bukan kali pertama.
“Sebelum ini saya pernah datang ke mahkamah untuk membuat pengesahan lafaz talak yang dibuat banyak kali.
“Disember tahun lalu saya ada memfailkan kes pengesahan lafaz cerai tetapi Edika menafikan semuanya.
“Dia turut mengangkat sumpah laknat pada Januari lalu dan disebabkan itu saya teruskan dengan permohonan cerai,” katanya kepada Gempak.
Hidayah mendedahkan perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu selepas prosiding permohonan cerai selesai.
BERITA BERKAITAN: Edika Yusof Pernah Halang Isteri Keluar Rumah - “Masa Dia Keluar, Boleh Dikatakan Nusyuz”
BERITA BERKAITAN: #GempakVideoNews : Isteri Bertegas Nak Bercerai, Edika Yusof Sedia Untuk Lepaskan
Sementara itu, anak sulung Hidayah dan Edika iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, yang turut hadir menemani ibunya berkata, perceraian merupakan jalan terbaik buat ibu dan ayahnya.
“Selagi saya masih hidup saya boleh jaga ibu. Tiada apa yang boleh saya cakap saya rasa jalan ini yang terbaik buat ibu dan ayah saya.
“Kedua-duanya akan kurang tekanan dan saya pun sudah biasa dari kecil jaga ibu jadi untuk saya tiada beza,” ujarnya.
Hidayah memfailkan perceraian terhadap Edika pada pertengahan Februari lalu dan kes itu akan disebut semula pada 5 Mei ini.
Edika dan Hidayah mendirikan rumah tangga pada 2003 dan selain Fardeen mereka juga dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Fareena Nurulhaq, 20 tahun.
Hidayah juga memiliki seorang lagi cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu iaitu Nazirul Afiq, 27 tahun.
Untuk rekod, Hidayah mengalami lumpuh separuh badan akibat demam panas sejak 19 tahun lalu.
BERITA BERKAITAN: Anak Perempuan Edika Yusof Masih Tinggal Bersama, Tak Setuju Jika Ibu Bapa Bercerai - “Sebagai Ayah, Saya Menjadi Tempat Untuk…”
BERITA BERKAITAN: “Apa Yang Dituduh Kepada Saya Sangat Keterlaluan” - Isteri Bertegas Nak Bercerai, Edika Yusof Sedia Untuk Lepaskan
Must-Watch Video