Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak dibenarkan menyertai saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Doha, Qatar susulan keputusan kerajaan yang masih menutup pintu sempadan negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan SOP itu tidak membenarkan rakyat ke luar negara serta kemasukan warga asing ketika ini termasuklah pasukan bola sepak.

“Pertama sekali kami tidak benarkan atas alasan ia adalah kerana tertakluk kepada dasar sempadan negara ditutup iaitu rakyat kita tidak dibenarkan ke luar negara.

“Jadi dalam kes bola sepak, kami juga tidak benarkan untuk menjamin keselamatan pemain-pemain kalau mereka ke luar negara kerana kami tidak tahu bagaimana SOP ditetapkan di sesebuah negara,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Teknikal JDT Alistair Edwards berkata pasukan itu akur apabila tidak dibenarkan untuk terbang ke Doha, Qatar.



“Walaupun kami sangat kecewa tidak dapat mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi kelab peringkat Asia dan juga Piala Malaysia, kami menghormati keputusan kerajaan Malaysia dan memahami tindakan terpaksa diambil atas faktor keselamatan disebabkan peningkatan kes pandemik COVID-19,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman Facebook Johor Southern Tigers malam tadi.

Liga Juara-Juara AFC 2020 Zon Timur dijadualkan berlangsung dari 18 November hingga 13 Disember dan JDT sebagai juara Liga Super 2020 dijangka meneruskan kempennya dalam saingan Kumpulan G.

Semua perlawanan itu akan berlangsung di Doha, Qatar.

Skuad bimbingan Benjamin Mora itu akan menentang kelab dari China, Guangzhou Evergrande pada 19 November; Suwon Samsung Bluewings dari Korea Selatan (25 November); pasukan Jepun Vissel Kobe (1 Disember); sebelum menamatkan perlawanan pusingan awal, sekali lagi menentang Guangzhou Evergrande pada 4 Disember.


Sumber: Bernama