Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menafikan dakwaan seekor beruk di Gua Musang, positif COVID-19.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata pihaknya tidak melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas haiwan.

"Tidak munasabah, kita tidak buat ujian calitan kepada beruk," katanya seperti dilaporkan BERNAMA. dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu hantaran tular di Facebook dan Whatsapp yang memaparkan gambar seekor beruk memakai gelang merah jambu didakwa positif COVID-19.

Sejak Isnin tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp video seekor beruk yang didakwa tidak sihat, tidak bermaya dan mengalami selesema.

Foto tersebut turut disertakan dengan rakaman suara kononnya beruk tersebut dibawa oleh pasukan kesihatan untuk menjalani ujian saringan dan didapati positif Covid-19.

Beruk berkenaan juga dipakaikan gelang merah jambu sebagai 'tanda' binatang tersebut perlu dijauhi akibat wabak berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Zaini turut menasihatkan masyarakat untuk tidak mempermainkan perkara seperti itu kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai.