Juara Hero Remaja 2021, Mierul Aiman tidak risau sekiranya finalis lain akan lebih menyerlah daripadanya dalam industri hiburan pada masa akan datang.

Menurut Mierul, dia percaya setiap orang dikurniakan rezeki dan masa yang berbeza untuk memperoleh perkara yang diingini.

"Saya percaya dengan rezeki masing-masing, kalau kita tak dapat sesuatu perkara, itu mungkin bukan lagi masa yang tepat.

"Saya juga percaya pada kekuatan dan bakat yang saya miliki, saya bawa keikhlasan dalam industri, kalau masa saya lambat pun, Insya-Allah saya akan dapat juga apa yang dikehendaki suatu hari nanti," katanya.

Mierul berkata demikian ketika ditemui di sidang media Hero Remaja 2021 di Kumpulan Media Karangkraf pada Isnin.

Bercakap mengenai kemungkinan berhadapan kontroversi, Mierul akui belum bersedia dan hanya mahu mempertaruhkan bakatnya sahaja buat masa ini.

"Sebenarnya saya tak bersedia untuk sebarang kontroversi, mungkin perkara sebegitu akan datang sendiri.

"Saya faham, kadang-kadang pandangan orang lain berbeza dengan apa yang sebenarnya kita lakukan, kalau perkara salah kita cuba betulkan, kalau perkara baik, kita tambah baikkan lagi.

"Jadi, saya mahu menjual diri dengan bakat dan karya-karya yang akan saya sampaikan, memang saya tak rancang untuk menaikkan diri dengan kontroversi setakat ini," katanya lagi.

Sabtu lalu, program Hero Remaja 2021 berakhir dengan menyaksikan Mierul diangkat sebagai Juara yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta selempang dan trofi.

Sementara tempat kedua jatuh kepada Aqil Taqee, manakala Fazziq Muqris menduduki tempat ketiga.

Pada masa sama, Aqil turut dinobatkan sebagai Hero Inspirasi manakala Syazani pula dinobatkan sebagai Hero Favourite.

BACA: Mierul Aiman Hero Remaja 2021!

Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.