Melewati dua dekad, keampuhan jenama ST12 tidak mampu disangkal lagi apabila populariti band pop Melayu yang ditubuhkan di Bandung, Indonesia pada 2004 itu terus utuh merentas masa.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap itu, semangat juang Ilham Febry atau Pepep (dram) dan Muh. Indra Gunawan atau Indra (bass) mempertahankan jenama ST12 supaya kekal sebaris band popular Indonesia lain tidak pernah sirna.

Percaya dengan keutuhan jenama yang sudah dua dekad bertapak itu, didukung kekuatan muzik yang menjadi sandaran utama untuk terus mendekati peminat, ST12 bersedia kembali dengan semangat baharu.

Semangat itu bakal diterjemahkan Pepep dan Indra menerusi ST12 Live In Malaysia di Zepp Kuala Lumpur pada 10 November depan yang akan menampilkan Firman Siagian dan juara Indonesian Idol musim kelima, Aris pada posisi vokalis.

Bagi Pepep, ST12 tidak sekadar sebuah band, sebaliknya dia dan Indra bertekad untuk memastikan jenama yang sudah terpahat hampir 20 tahun itu kekal relevan serta terus bertahan.

Mengulas penampilan Aris sebagai vokalis untuk konsert tersebut, selain mengekalkan Firman yang pernah mengukuhkan nama ST12 menerusi single Kepingan Hati pada 2019, Pepep berkata, siapapun yang terpilih untuk menggalas peranan itu, posisi ST12 tetap dipertahankan.

"ST12 bukan lagi sekadar sebuah band, sebaliknya ia sudah menjadi sebuah jenama. Justeru, sesiapapun yang menggalas peranan sebagai vokalis, jenama ST12 tetap dibawa bersama.

"ST12 sentiasa mencuba dengan membuka kesempatan untuk berkolaborasi dengan semua penyanyi berbakat hebat. Alhamdulillah, usaha ST12 berhasil apabila kerjasama kami dengan beberapa penyanyi terdahulu meraih sukses luar biasa," katanya.

Sebagai contoh katanya, percubaan ST12 menampilkan Ridho menerusi single Putih Putih Melati pada 2013 berjaya mencatat 16 platinum di Asia, disusuli kolaborasi bersama Firman menerusi Kepingan Hati yang melakar 10 platinum.

Sehubungan itu, mereka tidak gentar mempertaruhkan Aris untuk meneruskan legasi muzik ST12 menerusi single Cukup Sampai Di Sini yang ketika ini masih lagi hangat dipromosikan di Indonesia.

"ST12 cuba menawarkan karya terbaik kepada semua penggemar muzik di rantau ini tanpa menggantungkan seluruh kekuatan kepada penyanyi semata-mata.

"Jenama ST12 sudah sebati dengan peminat di rantau Nusantara dan kepercayaan yang diberikan untuk kembali beraksi di Kuala Lumpur menerusi ST12 Live In Malaysia memberikan kami semangat baharu untuk terus berkarya," katanya. .

Dibawakan My Legacy Entertainment Sdn. Bhd. dengan kerjasama Laskhar Entertainment, ST12 Live In Malaysia turut menampilkan penyanyi popular Malaysia, Hazama.

Tiket menyaksikan ST12 Live In Malaysia pada harga RM139 (Kepingan Hati), RM169 (Puspa), RM229 (Cukup Sampai Di Sini), RM289 (Putih Putih Melati) dan RM4099 (Jalan Terbaik - Royal Box VVIP) boleh diperoleh menerusi pautan: www.ticket2u.com.my/st12.